Berita

Kerajaan Negeri Sembilan agih 8,584kg daging lembu kepada 4,292 asnaf secara percuma

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan mengagihkan 8,584 kilogram daging lembu kepada 4,292 asnaf dari seluruh Negeri Sembilan secara percuma.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri pada tahun ini telah mengubah konsep Mantai Perdana sebelum ini kepada Mantai Asnaf yang lebih bersasar iaitu melalui kaedah pemberian daging percuma kepada golongan asnaf yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

“Konsep asal penganjuran program Mantai Perdana dahulu adalah membolehkan rakyat Negeri Sembilan yang kurang berkemampuan membeli daging lembu pada kadar harga yang lebih murah berbanding harga pasaran semasa.

“Namun begitu, kita tidak mampu untuk menyekat golongan yang berkemampuan dan berpendapatan tinggi untuk turut sama membeli di tapak program.

“Kaedah ini juga dapat membantu memasarkan hasilan ternakan penternak lembu pedaging tempatan yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

“MAINS telah menyenaraikan 4,292 asnaf dari 36 DUN di Negeri Sembilan, yang akan menerima 2 kilogram daging lembu setiap seorang secara percuma,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian selepas selesai mengagihkan daging lembu percuma kepada 66 asnaf di DUN Sikamat.

Menurut Aminuddin, pengedaran ini telah berjalan serentak di semua daerah di Negeri Sembilan bermula jam 8.00 pagi melibatkan 44 buah lokasi edaran yang telah ditentukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Kecil Gemas.

“Pengagihan daging dijalankan melalui beberapa kaedah yang bersesuaian dengan keadaan semasa penerima berdasarkan status kesihatan, jarak kediaman, logistik dan sebagainya.

“Kaedah pertama, penerima datang ke lokasi yang ditetapkan untuk mengambil daging secara pandu lalu.

“Manakala kaedah kedua, penghantaran ke rumah penerima oleh Kariah Masjid, Penghulu Mukim atau Penyelaras DUN,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, pendekatan ini selaras dengan arahan terbaru dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang melarang sebarang aktiviti perkumpulan sosial dan penyerahan daging sempena mantai kepada golongan asnaf dilaksanakan secara pandu lalu.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button