Berita

Kerajaan Negeri Sembilan peka kepentingan keselamatan makanan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan peka terhadap keselamatan makanan dalam situasi pasca pandemik.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Selangor telah menandatangani satu perjanjian persefahaman (MOU) bagi penanaman jagung atas tanah seluas 400 ekar di Gemas di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Shah Alam.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, perjanjian tersebut telah ditandatangani antara Menteri Besar Negeri Sembilan Pemerbadanan (MBINS) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi Projek Tanaman Jagung Bijirin Menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan.

“Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan statistik bahawa sebanyak 12.54 juta tan jagung bijirin diimport daripada tahun 2016 hingga 2021.

“Ini sekaligus menunjukkan bahawa jagung bijirin domestik tidak mampu menampung permintaan negara.

“Disebabkan sektor tersebut mempunyai potensi, MBINS dan PKPS telah bersetuju untuk melaksanakan projek pertanian secara usahasama di sebidang tanah berkeluasan 400 ekar milik MBINS di Gemas,” ujar Aminuddin.

Turut menandatangani perjanjian ini Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari mewakili Kerajaan Negeri Selangor.

Aminuddin berkata, projek ini dilihat mampu memberi kesan terhadap pengawalan harga jagung bijirin bagi tujuan makanan ternakan ruminan khususnya di kawasan Gemas dan Tampin serta Negeri Sembilan amnya.

“Saya berharap projek ini dapat memberikan impak positif terhadap bekalan makanan ternakan ruminan di negeri ini.

“Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa menyambut baik projek yang dapat menjamin keselamatan makanan bagi rakyat negeri ini.

“Kerajaan Negeri Sembilan akan terus meneroka potensi lain seperti pembangunan tanah terbiar ataupun ladang kontrak bagi memastikan keselamatan makanan untuk rakyat,” ujar Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button