Kerajaan Negeri Sembilan peka keperluan Orang Asli
Peruntuk RM8.11 juta bagi penyelenggaraan jalan dan sistem perparitan
SEREMBAN: Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap keperluan semua rakyat di negeri ini termasuk masyarakat Orang Asli.
Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Ismail Ahmad berkata, sehingga tahun ini, sebanyak RM8.098 juta peruntukkan MARRIS telah diluluskan Kerajaan Negeri bagi memastikan keperluan dan keselesaan Orang Asli dijaga.
“Pada tahun 2019 sejumlah RM1.938 juta telah diluluskan untuk penyelenggaraan jalan.
“Seterusnya pada tahun 2020, sebanyak RM1.010 juta dan jumlah ini telah meningkat kepada RM2.35 juta pada tahun 2021.
“Manakala pada tahun ini, RM2.8 juta telah diluluskan.
“Peningkatan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri bagi memastikan jalan raya serta sistem perparitan di kawasan Orang Asli dalam keadaan terbaik walaupun kebajikan Orang Asli adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan,” kata Ismail.
Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan daripada ADUN Jeram Padang, YB Dato’ L.Manickam di Persidangan Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan ke-14 pada Rabu.