Berita

Kerajaan Negeri Sembilan peka masa depan pelajar tahfiz

SEREMBAN: Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr. Mohamad Rafie Ab Malek telah merasmikan Program Tahfiz ‘SPM Fast Track’ di Sekolah Menengah Seri Setia, Seremban.

Mohamad Rafie berkata, Kerajaan Negeri Sembilan prihatin terhadap permasalahan pelajar tahfiz yang tidak mempunyai pendidikan akademik walaupun mereka telah mencukupi hafalan 30 juzuk Al Quran.

Disebabkan itu, program ini dilakukan untuk mereka belajar dalam tempoh setahun untuk aliran sastera sebelum mengambil peperiksaan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM).

“Program ini telah bermula pada tahun 2021 yang membabitkan 50 orang pelajar tahfiz di Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah (MTAS) dan mereka telah mengambil peperiksaan SPM pada bulan Mac lepas.

“Program ini masih diteruskan untuk tahun ini, yang juga membabitkan 50 orang pelajar tahfiz untuk kumpulan kedua.

“Bagi memastikan pelajar tahfiz ini mendapat peluang mempelajari aliran sains, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program baru selama dua tahun bermula pada tahun ini yang diadakan di Sekolah Menengah Seri Setia, Seremban,” jelas Mohamad Rafie.

Menurut Mohamad Rafie, seramai 22 orang pelajar tahfiz iaitu 15 orang pelajar lelaki dan tujuh orang pelajar perempuan mendapat peluang untuk mengambil peperiksaan SPM pada tahun 2023 dalam aliran sains.

“Hasrat kita adalah untuk melahirkan pemimpin serta profesional yang hufaz dan berjiwa Al Quran yang bakal meneraju negara dimasa yang akan datang.

“Setiap pelajar diberikan tablet untuk memudahkan urusan pembelajaran mereka,” kata Mohamad Rafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan.

Show More

Related Articles

Back to top button