BeritaProgram

Kerajaan Negeri Sembilan peruntuk lebih RM1.75 juta bantu industri pelancongan

Lebih 150 buah hotel bakal dapat manfaat dari insentif ini

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan memperuntukkan lebih RM1.75 juta sebagai insentif bagi membantu industri pelancongan yang sangat terkesan di negeri ini akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri menyedari situasi yang dihadapi oleh penggiat industri pelancongan di negeri ini sepanjang tempoh pandemik Covid-19 melanda sejak Mac 2020 yang lalu.

“Kekurangan atau hampir tiada pelancong mahupun pengunjung, ditambah sekatan pergerakan merentas daerah dan negeri, kekangan kewangan bagi menampung kos pengoperasian seperti cukai, utiliti, penyelenggaraan, gaji, promosi dan pemasaran semestinya menjadi cabaran terbesar untuk sektor pelancongan.

“Menyedari akan perkara ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyalurkan bantuan dan insentif seperti perincian berikut:

i. Bantuan tunai one-off kepada Persatuan Pelancongan Peringkat Negeri sebanyak RM2,000.

Persatuan yang akan mendapat manfaat ini adalah Malaysia Association of Hotel (MAH NS), Malaysia Budget & Business Hotel (MyBHA NS), Malaysia Association of Tours & Travel Agent (MATTA) dan Bumiputera Travel & Tour Agents Association of Malaysia (BUMITRA).

Bantuan ini dijangka akan memanfaatkan hampir 20 buah persatuan yang berdaftar di Negeri Sembilan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM40,000.

ii. Bantuan tunai one-off sebanyak RM2,000 kepada Pengurusan Rumah Inap atau Homestay yang masih aktif dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Sebanyak tujuh buah Pengurusan Rumah Inap yang masih aktif dalam Negeri Sembilan akan mendapat manfaat ini iaitu Homestay Pelegong, Seremban; Homestay Lonek, Jempol; Homestay Rawa, Lenggeng; Homestay Pachitan, Port Dickson; Homestay Kuala Klawang Jelebu; Homestay D’ Pelanduk Best, Port Dickson dan Homestay Kampung Sungai Buloh, Jelebu.

Keseluruhan peruntukan bagi bantuan ini adalah sebanyak RM14,000.

iii. Bantuan tunai one-off kepada Pemandu Pelancong Negeri Sembilan yang berdaftar dengan pihak MOTAC sebanyak RM250 yang akan memanfaatkan sejumlah 91 orang Pemandu Pelancong di bawah Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Sembilan (NSTGA).

Bantuan ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM22,750.

iv. Diskaun atau rebat Cukai Taksiran bagi segmen penginapan dan hotel sebanyak 50 peratus bagi penggal kedua tahun 2021.

Insentif ini dijangka akan melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri lebih RM1.51 juta.

v. Diskaun atau rebat bagi Fi atau Lesen Perniagaan segmen penginapan dan hotel sebanyak 50 peratus bagi tahun 2022.

Insentif ini dijangka akan melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri lebih RM123,000.

Kedua-dua diskaun dan rebat ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 150 buah hotel dan penginapan di seluruh Negeri Sembilan.

Insentif mencerminkan manifestasi pentadbiran negeri dalam sektor pelancongan

Menurut Aminuddin, keseluruhan bantuan tunai one-off, diskaun dan rebat ini melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri lebih RM1.71 juta.

Semua bantuan tunai one-off ini akan diselaraskan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS). Manakala bagi diskaun dan rebat cukai taksiran serta fi lesen perniagaan akan diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.

“Kerajaan Negeri berharap bantuan dan insentif ini dapat mencerminkan manifestasi pentadbiran ini bersama semua pihak dalam sektor pelancongan yang menerima impak pandemik Covid-19 ini.

“Semoga kerjasama antara Kerajaan Negeri dan semua penggiat industri dapat terus dikekalkan, malahan ditambah baik dalam waktu sukar sebegini,” kata Aminuddin yang juga ADUN Sikamat.

Aminuddin berkata demikian dalam sidang media Pasca Mesyuarat Exco yang diadakan secara atas talian (online) sebentar tadi.

Show More

Related Articles

Back to top button