Berita

Masri dilantik Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban yang baharu

SEREMBAN: Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pengurusan), Dato’ Masri Razali, dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mengumumkan perlantikan berkenaan, bagi menggantikan Dato’ Zazali Salehudin yang bersara wajib.

Masri mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said, Seremban. Berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (UKM) dan Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (UIA).

“Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada tahun 1997 sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan seterusnya Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun yang sama. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).

“Jawatan yang pernah disandang ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, JAKIM sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) pada tahun 2015. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah (Kanan) Bahagian Perkhidmatan, JPA.

“Dato’ Masri pernah dipilih oleh JPA untuk mengikuti Advanced Executive Programme di Queens University, School of Business, Toronto, Canada pada 2011 dan Competitive Strategy Programme di INSEAD, Fontainebleau, France pada 2019. Sepanjang perkhidmatan beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2012) dan dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (2021),” kata Aminuddin.

Pencapaian Zazali dihargai Kerajaan Negeri Sembilan

Aminuddin juga merakamkan penghargaan kepada Zazali di mana dalam tempoh perkhidmatan beliau, bandar Seremban telah berjaya dinaikkan taraf sebagai sebuah bandar raya; apabila Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai telah digabungkan menjadi Majlis Bandaraya Seremban.

“Antara kejayaan di bawah pentadbiran Dato’ Zazali ialah pengiktirafan Bandar Seremban sebagai Bandar Paling Bahagia dan Bandar Mampan pada tahun 2019.

“Memperkenalkan penggunaan tenaga hijau bagi mengimbangi pelepasan karbon di MBS dengan pemasangan panel solar di Wisma MBS Forest Heights, Pejabat MBS Cawangan Nilai dan Pasar Besar Seremban.

“Memperkenalkan pembayaran tanpa tunai di MBS melalui pembayaran atas talian serta penggunaan e-wallet selain daripada kod QR di dalam bil cukai.

“Menyediakan pusat penjaja setempat dengan kapasiti 1,000 tapak penjaja di sekitar Seremban menjadikan aktiviti perniagaan lebih tersusun dan aliran trafik di kawasan sekitar lebih lancar.

“Semoga bandar raya Seremban yang makmur akan terus berkembang dengan komitmen dan perkhidmatan terbaik yang akan diberikan oleh Datuk Bandar kepada semua lapisan masyarakat,” ujar Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button