Berita

Kerajaan Negeri Sembilan peruntuk RM1.23 juta bantu Sekolah Agama Rakyat

Bantuan Tadika Islam RM200,000 dan Sekolah KAFA RM115,000

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah membelanjakan RM656,960 bagi projek menaiktaraf Sekolah Agama Rakyat (SAR) pada tahun 2020 dan telah meluluskan bantuan kewangan RM570,000 pada tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kerja-kerja menaiktaraf bangunan SAR dan kemudahan prasarana telah dilaksanakan di 35 SAR melibatkan kos RM656,960.

“Manakala dalam Mesyuarat Jawatankuasa Zakat MAINS pada 14 Jun lalu, Kerajaan Negeri telah meluluskan bantuan one-off sebanyak RM570,000 kepada 57 SAR.

“Ini bermakna setiap SAR akan menerima bantuan kewangan RM10,000.

“Selain itu setiap 40 Tadika Islam juga akan menerima bantuan one-off RM5,000 yang membabitkan jumlah peruntukan RM200,000,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata, tanggungjawab membangunkan SAR secara keseluruhan adalah terletak di bawah Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS).

“Namun, Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) boleh menyalurkan bantuan yang difikirkan perlu tertakluk kepada peruntukan semasa.

“Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Negeri Sembilan adalah merupakan sekolah yang dibangunkan oleh komuniti setempat dan didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996,” jelas beliau.

Sekolah KAFA terima bantuan RM115,000

Menurut Aminuddin, 23 sekolah yang menjalankan kelas KAFA turut mendapat bantuan one-off berjumlah RM115,000.

“Sebanyak 23 sekolah yang menjalankan kelas KAFA menerima bantuan one-off sebanyak RM5,000

“Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan keperluan institusi pendidikan Islam di negeri ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button