Berita

Kerajaan Negeri Sembilan Tegas Pastikan Pemilikan Tanah Ulu Ladang Gemas Milik Anak Tempatan

GEMAS: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Bin Harun menegaskan bahawa tanah yang diberikan kepada penduduk tempatan melalui Majlis Penyampaian Hak Milik Muktamad Kampung Ulu Ladang, Gemas perlu dimanfaatkan sebagai tapak kediaman dan harta warisan bukannya untuk tujuan pelaburan jangka pendek.

Menurut beliau, proses pemilihan penerima tanah yang bermula sejak tahun 2022 dilakukan dengan amat teliti bagi memastikan hanya pemohon yang benar-benar layak dipertimbangkan.

“Kita tidak mahu tanah ini hanya dipohon untuk dijual kemudian hari. Hasrat kerajaan adalah supaya tanah ini menjadi tempat tinggal dan warisan keluarga bukannya ‘homestay’ atau projek sementara,” kata beliau.

Aminuddin turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memperkenalkan skim pinjaman khas bermula tahun 2026 bagi membolehkan penerima membina rumah di atas tanah yang diberikan.

Pinjaman ini akan diuruskan melalui Pejabat Tanah dengan syarat penerima membuat bayaran balik secara jujur dan bertanggungjawab.

Beliau dalam masa sama mengingatkan penerima tanah agar menunaikan tanggungjawab membayar cukai tanah setiap tahun. Jelas beliau, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tanah dirampas sekali gus menyukarkan pewarisan kepada generasi seterusnya.

“Walaupun jumlah cukai kecil, ia adalah tanggungjawab bersama. Ingatlah, tanah ini bukan sahaja aset dunia tetapi amanah untuk diwariskan kepada anak cucu kita,” tegas beliau.

Bermula 2024, sistem pembayaran cukai tanah di Negeri Sembilan telah beralih kepada pendigitalan sepenuhnya. Tiada lagi bil bercetak dikeluarkan sebaliknya semua notifikasi cukai disalurkan secara digital melalui sistem rasmi Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan pelbagai inisiatif galakan seperti cabutan bertuah, pemberian cenderahati pembayar awal serta van bergerak bagi memudahkan penduduk kampung membuat bayaran.

Menyentuh pembangunan ekonomi, beliau berkata kemasukan pelaburan syarikat besar seperti F&N di Gemas dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan.

Dalam masa yang sama, kerajaan negeri terus memberi perhatian kepada isu perumahan generasi kedua Felda termasuk penyediaan kemudahan asas seperti elektrik, air dan pengurusan sisa.

“Kerajaan Negeri mahu pembangunan seimbang di seluruh Negeri Sembilan bukan hanya tertumpu di Sendayan atau Nilai. Gemas juga berpotensi menjadi pusat pertanian moden dan industri berat,” ujarnya.

Seramai 81 penerima sah menerima geran tanah masing-masing dalam majlis ini.

Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Tanah Gemas, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, Jabatan Ukur, Jabatan Perhutanan serta semua agensi yang bekerjasama menjayakan program tersebut.

“Inilah harta warisan yang mesti dijaga dengan baik. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran jualan tanah. Kerajaan negeri mahu tanah Negeri Sembilan kekal dimiliki rakyat Negeri Sembilan sendiri,” katanya.

Majlis penyampaian hak milik ini melibatkan keluasan kira-kira 22 ekar tanah di Kampung Ulu Ladang, Gemas yang diharap menjadi tapak penempatan baharu sekali gus membuka lembaran pembangunan lebih sejahtera kepada penduduk setempat.

Show More

Related Articles

Back to top button