Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan komited memperkasa wanita
TAMPIN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun merasmikan Sambutan Hari Wanita 2021, Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Arena Dataran Tampin pagi kelmarin.
Aminuddin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sentiasa komited dalam usaha memperkasakan wanita.
“Pelbagai inisiatif dan insentif dilaksanakan melalui jabatan dan agensi kerajaan dalam menggalakkan perkembangan ekonomi, politik, mahupun sosial di kalangan golongan wanita Negeri Sembilan.
“Mewakili Kerajaan Negeri, saya menyeru kepada segenap lapisan masyarakat agar sama-sama berusaha memastikan ketidaksaksamaan terhadap wanita dapat dibendung.
“Apabila memperkasakan wanita bukannya hendak mengugat status lelaki, tetapi membantu wanita naiktaraf kemahiran dalam pelbagai bidang terutamanya sektor ekonomi,” ujarnya.
Bagi mematuhi SOP serta mencapai sasaran 3,000 hadirin untuk pelancaran tersebut, pihak penganjur telah menganjurkan sambutan secara serentak di setiap Parlimen dengan kehadiran maksima 500 peserta bagi setiap Parlimen.
Majlis perasmian telah dipancarkan ke setiap parlimen tersebut menggunakan aplikasi telesidang (tele-conference).
Pelbagai aktiviti yang menarik telah diadakan seperti ukiran henna, gubahan bunga, kraftangan dan banyak lagi.
Turut hadir Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon; ADUN Repah dan Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Veerapan Superamaniam; Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Ismail Ahmad dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Dato’ MK Ibrahim Abdul Rahman.
Foto: Nabil Syafiq