
JELEBU: Suasana meriah jelas terasa seawal pagi lagi di perkarangan Kompleks UMNO Simpang Pertang yang dah mula ‘berasap’ dan dipenuhi orang ramai sempena Program Mantai Raya yang berlangsung di DUN Pertang.
Ahli Parlimen Jelebu, Dato’ Seri Jalaluddin Alias turut turun padang menyantuni rakyat, sekali gus memeriahkan lagi sambutan tradisi tahunan yang cukup sinonim dengan masyarakat Negeri Sembilan itu.
Program Mantai Raya tahun ini menyaksikan sambutan luar biasa daripada penduduk setempat, yang hadir seawal pagi bagi mendapatkan bekalan daging segar serta barangan keperluan menjelang Aidilfitri.
Antara tarikan utama pastinya Jualan Daging Subsidi yang ditawarkan pada harga RM32 sekilogram, memberikan peluang kepada orang ramai mendapatkan bekalan pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Rata-rata pengunjung meluahkan rasa gembira kerana dapat membeli daging segar pada harga berpatutan, sekali gus membantu persiapan juadah tradisional seperti rendang dan sup untuk pagi raya.

Selain itu, Jualan Rahmah turut mendapat sambutan hangat dengan pelbagai barangan keperluan dapur dijual pada harga mampu milik.
Inisiatif ini membolehkan penduduk melengkapkan persiapan Aidilfitri dengan lebih mudah dan menjimatkan.
Program ini bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, malah mengeratkan hubungan kejiranan melalui semangat gotong-royong yang menjadi teras tradisi Mantai di Negeri Sembilan.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas dan sukarelawan yang bertungkus-lumus sejak awal pagi bagi memastikan kelancaran program.



