Berita

Kukuh hubungan kaum, resipi bangunkan negeri makmur: AMINUDDIN

SEREMBAN: Resepi paling utama dalam membangunkan sebuah negeri yang terhormat dan makmur adalah dengan membentuk perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa dan agama,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun di sambutan Maal Hijrah 1444H Negeri Sembilan di Masjid Negeri.

Sambutan Maal Hijrah 1444H Negeri Sembilan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Aminuddin berkata, agenda ini termaktub dalam fasal terawal Sahifah Madinah iaitu sebuah perlembagaan yang dibangunkan bagi menetapkan perjanjian atau kontrak sosial antara umat Islam yang terdiri daripada Muhajirin dan Ansar serta golongan bukan Islam yang berjuang bersama umat Islam.

“Di dunia ini, kemajmukan manusia adalah fitrah yang ditetapkan. Kepelbagaian bangsa dan etnik bertujuan agar manusia saling kenal-mengenali, memahami pemikiran, budaya dan adat resam, bukannya bersengketa serta berpecah-belah.

“Maka, sikap bertoleransi antara kaum dengan menerima keunikan kaum lain serta menghargai kelebihan dan meraikan kepelbagaian budaya yang ada sangat perlu dihayati oleh setiap lapisan masyarakat.

“Hal ini bertepatan dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran,” ujar beliau.

Aminuddin berkata, melalui dasar pentadbiran Islam di Negeri Sembilan, masyarakat disantuni melalui pelbagai inisiatif, peruntukan dan dana yang disalurkan serta dilaksanakan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

“Semua inisiatif yang dilaksanakan adalah mesej bahawa tanggungjawab bersama untuk memelihara keharmonian dan kemakmuran adalah tugas kita bersama agar Negeri Sembilan terus sejahtera dan menjadi contoh kepada masyarakat sekeliling serta diredai oleh Allah SWT.

“Alhamdulilillah, pada tahun 2021, Negeri Sembilan telah diiktiraf sebagai sebuah negeri bahagia di Malaysia,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button