Kursus Kesedaran Halal dapat sambutan menggalakkan di DUN Lenggeng
LENGGENG: Seramai 56 orang peniaga makanan dan penjaja telah menyertai Kursus Penyediaan Makanan Halal yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Lenggeng dengan kerjasama Yayasan Al-Moqni Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri Lenggeng, YB Ustaz Suhaimi Kassim berkata, kursus halal yang dibimbing oleh penceramah dari Humaira Global turut memupuk kesedaran kepada peserta dalam soal kepentingan makanan halal dan memperkasakan penyebaran ilmu kefahaman mengenai pengurusan Halal dan Haram dalam Islam.
“Kursus ini juga mendidik peniaga makanan, penjaja dan orang ramai tentang tanggungjawab terhadap penyediaan makanan halal khususnya untuk perniagaan industri makanan termasuklah jualan gerai, restoran, produk frozen dan penjualan makanan di atas talian.
“Respon dari peserta di akhir program menunjukkan terdapat banyak perkara baharu yang dipelajari dan diakui kursus halal ini meningkatkan pengetahuan dalam penyediaan makanan yang bukan sahaja halal tetapi bersih dan lebih selamat dari penyakit berkaitan pemakanan.
“Insya Allah Kursus Kesedaran Halal ini akan diteruskan lagi di beberapa DUN di dalam Negeri Sembilan antaranya DUN Sikamat pada 11 September, DUN Ampangan dan DUN Nilai dalam masa terdekat,” kata Ustaz Suhaimi.
Semua peserta kursus menerima sijil dari Malaysia International Halal Academy (MIHA) di bawah kelolaan JAKIM.
Sijil ini juga akan meningkatkan keyakinan pelanggan dan pengguna bagi setiap peserta.
Kursus ini diadakan di Dewan Masyarakat Pantai pada Ahad. Turut hadir Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Encik Abdul Malek Adam.