Manfaatkan gelanggang futsal bagi aktiviti sihat: AMINUDDIN
SIKAMAT: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato Seri Aminuddin Harun telah menyerahkan gelanggang futsal Taman Pelangi dan Rumah Rakyat Sikamat 2 kepada Pusat Khidmat Rakyat DUN Sikamat.
Seterusnya Aminuddin sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, telah menyerahkan gelanggang futsal kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Sikamat dan MPKK Jalan Jelebu.
Aminuddin berharap, gelanggang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat khususnya golongan belia.
“Selain penggunaan futsal, ia juga boleh dijadikan gelanggang aktiviti zumba, senamrobik dan bola tampar.
“Pesanan saya agar kita bersama menjaga kemudahan ini supaya ia tidak disalahguna dan selamat dari unsur vandalisme yang merugikan masyarakat,” kata Aminuddin.
Majlis penyerahan ini berlangsung di Balai Raya Taman Desa Rhu.