Kualiti air Sungai Muar kembali normal

KUALA PILAH: Berhubung aduan orang ramai berkenaan air Sungai Muar, Kuala Pilah berwarna hitam, maka pasukan penyiasat Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan Cawangan Kuala Pilah telah menjalankan siasatan pada 25 Ogos 2025 pada jam lebih kurang 9.30 pagi.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, pasukan penyiasat JAS Cawangan Kuala Pilah telah membuat siasatan di lokasi yang dimaksudkan.
“Saya dimaklumkan bahawa hasil siasatan di lokasi punca pencemaran mendapati tiada punca industri yang menyebabkan sungai menjadi hitam dan disyaki bahawa ianya berpunca dari aktiviti pengorekan pasir.
“Maka pasukan penyiasat telah menuju ke lokasi tempat pengorekan pasir dan berjumpa dengan wakil kontraktor pengorekan pasir.
“Siasatan susulan ke atas tapak pengorekan pasir mendapati kerja-kerja pengorekan pasir sungai tidak beroperasi lebih kurang empat hari serta kolam-kolam takungan di tapak juga telah ditutup.
Menurut kontraktor tersebut, pasir di dalam sungai tersebut berwarna hitam dan air cucian pasir juga akan menjadi hitam serta akan mencari lokasi lain yang sesuai untuk proses pengorekan pasir,” kata Veerapan.
Veerapan menambah, selain itu, pemerhatian terhadap sungai-sungai di sekitar kawasan yang diadu didapati kembali kepada normal.
“Pihak JAS telah berjumpa dengan pengadu untuk memaklumkan hasil siasatan serta ia diperaku oleh pengadu.
“Dalam pada itu, bacaan/pengukuran YSI di muka sauk Loji Jelai juga menunjukkan bacaan yang normal.
“JAS mengesyaki keadaan air sungai hitam mungkin berpunca daripada aktiviti pengorekan pasir tersebut.
“Pihak JAS juga menyatakan bahawa tindakan susulan oleh BKSA dan Pejabat Tanah Kuala Pilah akan diambil mengikut bidangkuasa pentadbiran berkenaan serta rondaan dan pemantauan berkala di lokasi berkenaan akan dijalankan,” jelas Veerapan.
Veerapan berkata, beliau mengambil maklum perkembangan ini serta ingin mengingatkan semua pihak supaya berwaspada dengan pencemaran alam sekitar khususnya sungai yang menjadi punca air bagi penggunaan semua pihak.
Pihak kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu alam sekitar serta tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974 – 12) jika disabitkan kesalahan.