Projek jalan baharu Kampung Baru SiRusa ke Lukut sudah bermula

SEREMBAN: Projek pembinaan jalan baharu menghubungkan Lukut ke Kampung Baru SiRusa melalui Kampung Paya dan Kampung Bagan Pinang dijangka siap sepenuhnya awal tahun 2027.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek pembinaan jalan ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur, memperbaiki aksesibiliti penduduk setempat dan merangsang pembangunan ekonomi di kawasan terlibat.
Pembinaan jalan penghubung baharu ini akan dapat mengurangkan kesesakan, mempercepat laluan dan memendekkan masa perjalanan dari arah Lukut ke Kampung Baru SiRusa atau Bagan Pinang.
“Jalan penghubung baharu tersebut dianggarkan sepanjang 10 hingga 13 kilometer.
“Alhamdulillah projek itu nampaknya berjalan dengan baik.
“Kerja-kerja pengambilan tanah telah selesai dan kita lihat kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan dan mengikut jadual.
“Walaupun ada perubahan pada alignment jalan tersebut kerana berhampiran dengan Petron, tetapi perkara teknikal tersebut telah diselesaikan segera,” jelas Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian semasa Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.