SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melalui Bahagian Perumahan sentiasa melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat penyewa melanggar syarat perjanjian seperti menyewakan unit rumah kepada pihak kedua bagi perumahan awam seperti PPR dan RAHR yang ditadbir oleh Bahagian ini.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, YB J.Arul Kumar berkata, setakat ini, Bahagian Perumahan menerima satu aduan bertulis iaitu terdapat premis di Blok Chempaka Flat PKNNS, Jalan Tun Dr Ismail, Seremban yang disewakan kepada warga asing dari Myanmar.
“Selanjutnya siasatan dijalankan dan laporan siasatan diangkat bersama syor untuk pertimbangan dan arahan lanjut kepimpinan pentadbiran negeri.
“Seterusnya, laporan siasatan dipanjangkan kepada pihak berwajib untuk tindakan yang selanjutnya sebagaimana dipersetujui oleh kepimpinan pentadbiran negeri.
“Bagi setiap pelanggaran perjanjian oleh penyewa seperti tidak mendiami sendiri rumah berkenaan atau mana-mana kesalahan dan pelanggaran dalam perjanjian yang telah ditandatangani, maka Kerajaan boleh menamatkan perjanjian dengan memberi satu bulan notis kepada penyewa secara bertulis dan seterusnya mengambil semula rumah berkenaan tanpa menjejaskan hak Kerajaan menuntut daripada penyewa untuk apa-apa kemungkinan perjanjian yang telah dilakukannya terlebih dahulu,” kata Arul Kumar.
Arul Kumar berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren (PH) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban.
Gunasekaren bertanya, bagaimanakah pihak Kerajaan Negeri menangani masalah unit Rumah PPR dan Rumah Mampu Milik yang dibeli oleh golongan B40 yang kemudiannya menyewakan kepada pihak kedua atau warga asing.