SEREMBAN: Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini memuktamadkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang akan dibubarkan pada tahun 2023.
Pengerusi Pakatan Harapan, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan satu perbincangan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang pada hari ini berhubung isu tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri bagi ketiga-tiga negeri tersebut.
“Majlis Presiden mengambil maklum laporan Jabatan Meteorologi yang berkata bahawa fenomena La Nina dan monsun Timur Laut hingga ke awal tahun depan bakal menyaksikan jumlah taburan hujan yang tinggi serta kemungkinan berlaku hujan lebat dan banjir di kebanyakan negeri.
“Majlis Presiden turut mengambil maklum bahawa Kerajaan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang telah mempertingkat tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi musim banjir di negeri masing-masing sesuai dengan prinsip mengutama nasib rakyat berkait nyawa dan harta benda.
“Oleh itu, Majlis Presiden menerima pendirian Menteri Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Selangor serta Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa DUN bagi negeri-negeri tersebut akan dibubarkan pada tahun 2023, pada satu tarikh yang akan diumum kelak,” kata Anwar.
Foto: Nabil Syafiq