BeritaMenarik

MVV 2.0 akan menyumbang 15 peratus KDNK

PORT DICKSON: Pembangunan Malaysian Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dijangka akan menyumbang 15 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK/GDP) apabila projek ini siap pada tahun 2045.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek berkata, MVV 2.0 telah diolah untuk memacu pembangunan Negeri Sembilan sebagai sebahagian daripada ‘Greater Kuala Lumpur’.

Kita memfokuskan pembangunan secara bersasar dan pada ketika ini, ianya merangkumi 6 parcel pembangunan.

“Parcel A, seluas 2,838 ekar dirangka sebagai kawasan perindustrian berteknologi tinggi dikenali sebagai NS High Tech Industrial Park. Pembangunan ini telah dimulakan di Parcel Hamilton pada tahun 2021 dan kini dalam proses kerja-kerja tanah.

“Keseluruhan High Tech Industrial Park merangkumi empat Parcel iaitu Hamilton, New Labu, Labu dan Kirby.

“Parcel B, seluas 8,796 ekar dirangka sebagai kawasan pembangunan Wilayah Pintar atau Smart County. Smart County dirancang bagi pembangunan pusat bandar pintar dan Central Business District (CBD) baharu di Seremban merangkumi kawasan perumahan dan komersial, industri ringan dan sederhana yang memfokuskan pengeluaran halal terutamanya dalam Food and Beverage (F&B), farmaseutikal dan industri kosmetik, hub perubatan dan hub pendidikan,” kata Mohamad Rafie.

 

Mohamad Rafie berkata, Parcel C seluas 15,373 ekar yang dikenali sebagai Lembah Aeroangkasa NS atau NS Aerospace Valley (NSAV) dirangka untuk menjadi sebagai hub perindustrian aeroangkasa yang dinamik dan bersepadu di Malaysia dan juga di rantau Asia.

Antara komponen utama pembangunan di kawasan ini adalah Aeroangkasa, Oil & Gas, Electric Vehicle (EV) dan Hab Logistik.

“Parcel D, dikenali sebagai Hab Maritim Bersepadu dan Koridor Pinggir Pantai merangkumi seluruh perairan negeri dalam tiga batu nautika dirangka untuk mengembangkan industri maritim di Port Dickson.

“Parcel E pula masih dalam fasa perancangan untuk dibangunkan sebagai ‘Unmanned Vehicle Valley’ (UVV).

“Pembangunan kawasan seluas 4,500 ekar yang telah dikenalpasti ini akan merangkumi empat sektor iaitu UAV – ‘Unmanned Aerial Vehicle’, UGV – ‘Unmanned Ground Vehicle’, USV – ‘Unmanned Surface Vehicle’ dan UUV – ‘Unmanned Underwater Vehicle’,” jelas Mohamad Rafie.

Mohamad Rafie menambah, Parcel F dikenali sebagai NS Semiconductor Valley terletak berhampiran Taman Perindustrian Tuanku Jaafar juga kini dalam fasa perancangan yang akan dibangunkan sebagai pusat perindustrian bagi industri semikonduktor.

“Kita telah menerima dua cadangan pembangunan industri semikonduktor bernilai RM35 bilion,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button