BeritaMenarikProgram

Negeri Sembilan peruntuk RM8.5 juta untuk sektor pendidikan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah memperuntukkan RM8.5 juta merangkumi tujuh inisiatif utama berkaitan pendidikan pada tahun 2022.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sejumlah RM0.9 juta telah dibelanjakan yang memberi manfaat kepada 1,500 pelajar sekolah rendah menerusi Bantuan Anak Sekolah (BAS).

“Seramai 1,600 pelajar sekolah menengah telah menerima Biasiswa Anak Negeri dengan peruntukan sebanyak RM800,000.

“Sebanyak RM1 juta telah digunakan bagi tujuan Fast Track Tahfiz SPM melibatkan dua buah sekolah iaitu SRI Seremban dan juga Maahad As-Saidiyah.

“Lebih 100 buah sekolah tahfiz, SJKC dan SJKT di seluruh Negeri Sembilan menerima bantuan kewangan berjumlah RM2 juta.

“Manakala RM1 juta telah dibelanjakan bagi tujuan penyelenggaraan lebih 50 buah sekolah,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren di Persidangan Kelima Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14 pada Isnin.

Aminuddin juga berkata, sebanyak RM2.8 juta telah digunakan untuk membaiki Rumah Negeri Sembilan bagi anak-anak Negeri Sembilan yang sedang melanjutkan pengajian di Mesir dan bakinya digunakan untuk menambah elaun guru KAFA.

Show More

Related Articles

Back to top button