Berita

Nicole: Generasi muda harapan negara

Kempen pendaftaran vaksin dan pengundi di Seremban 2

BUKIT KEPAYANG:  Pusat Khidmat DUN Bukit Kepayang telah menganjurkan Program Pendaftaran Vaksin Covid-19 di Pasar Malam Seremban 2 (Garden Homes).

Program ini mendapat sambutan hangat dengan pembukaan kaunter PH GEM dan juga kaunter pendaftaran SPR di pintu masuk pasar malam tersebut.

ADUN Bukit Kepayang, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, ramai di kalangan pengunjung pasar malam bertanya maklumat lanjut vaksin terutamanya warga tua berhubung kesan sampingan.

“Sebenarnya, pengambilan vaksin untuk warga tua adalah sangat penting kerana ia boleh bantu mengurangkan kadar kematian dan beban kesihatan.

“Setakat hari ini, tiada kesan sampingan yang teruk dilaporkan untuk warga tua di seluruh dunia. Maklumat yang betul haruslah disebarkan supaya dapat memberi keyakinan kepada orang ramai.

“Saya sendiri sudah mengambil suntikan vaksin dan sehingga hari saya tidak alami apa-apa kesan sampingan selain kebas tangan,” katanya.

Kempen pendaftaran pengundi

Nicole yang juga Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Keluarga berkata, ramai golongan pemuda yang datang untuk buat permohonan pendaftaran SPR.

“Namun, ada beberapa anak muda yang masih berumur 18 tahun menyatakan rasa kecewa kerana tidak dapat mendaftar kerana syarat mengundi masih kekal pada umur 21 tahun.

“Saya akan teruskan perjuangan dari segi penggubahan dasar mengundi supaya pemuda berumur 18 tahun dapat tunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya berasa sangat gembira kerana ramai pemuda yang mengambil kisah berkaitan hal ehwal negara dan bersemangat untuk tunaikan tanggungjawab mengundi masing-masing,” ujar beliau lagi.

Nicole menyeru kepada pemuda-pemudi, mengambil tahu tentang apa yang sedang berlaku sekarang dalam negara kita.

“Melibatkan diri dalam politik tidak semestinya menjadi ahli politik.

“Menjadi sukarelawan atau menjadi pengundi pun sudah dikira sebagai penglibatan dalam bidang politik.

“Bersama-sama kita jadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik, maju dan cerah masa hadapan,” kata Nicole.

Show More

Related Articles

Back to top button