SEREMBAN: Noghori Arts School Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Najihah, Seremban melakar sejarah tersendiri selepas merangkul juara kategori Nyanyian Duo dan johan keseluruhan kategori Music Band di The 43rd International Folklore and Music Competition Prague 2024 di Republik Czech baru-baru ini.
Dengan vokal yang harmoni dan ekspresi mengagumkan menerusi lagu Mentera Semerah Padi, dua pelajar berusia 13 tahun Jeszel Iskandar Mohd Azhar dan Rayyen Fitri Syafiyudin berjaya menambat hati panel juri antarabangsa sekali gus membawa pulang gelaran juara kategori ‘Nyanyian Duo Junior 1’.
Pertandingan ini diadakan dari 11 hingga 12 Disember 2024 di Radiopalac, Prague, Republic Czech.
Selain pasukan muzik dari sekolah di Negeri Sembilan, pertandingan tersebut turut disertai oleh beberapa sekolah dari negeri lain menerusi kategori berlainan.
Dalam pada itu, bagi kategori Music Band pula, kumpulan The Jang’s yang terdiri daripada lima pelajar SMK Tunku Ampuan Najihah dan masing-masing seorang dari SMK Dato’ Haji Mohd Redza, SMK Dato’ Abdul Samad dan Sekolah Dato’ Abdul Razak berusia 13 hingga 16 tahun berjaya menewaskan 40 pasukan dari seluruh dunia melalui lagu ‘Medley Gema Tradisi’.
Guru Muzik SMK Tengku Ampuan Najihah, Muhamad Hazrin Ishak berkata, beliau tidak menjangkakan kemenangan berikutan ini kali pertama mereka menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa dan membawa nama Malaysia.
“Kita buat persediaan kira-kira lebih sebulan untuk pertandingan ini.
“Sebelum itu pada bulan Ogos 2024, kita menang pertandingan peringkat kebangsaan.
“Maka Kementerian Pendidikan Malayaia (KPM) menawarkan untuk membawa kami (pelajar) ke pertandingan antarabangsa ini.
“Kami semua sangat teruja apabila menang, sebab banyak pasukan hebat menyertainya, memang rasa berbesar hati mewakili negara ke persada dunia, apatah lagi kami baharu sahaja tubuhkan pasukan The Jang’s di bawah Noghori Arts School,” katanya.
Menurut Muhamad Hazrin lagi, kejayaan ini juga pencapaian terbesar Noghori Arts School dan Negeri Sembilan, sekali gus membuktikan bakat seni tanah air mampu bersaing di peringkat antarabangsa selain sebagai pemangkin untuk kumpulan itu terus maju.
“Kejayaan ini hasil kerja keras, dedikasi dan latihan insentif pelajar selain bantuan daripada pelbagai pihak terutama Kerajaan Negeri Sembilan.
“Kejayaan ini pastinya menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus cemerlang dalam bidang seni dan budaya,” ujar Mohamad Hazrin.
Pengetua SMK Tunku Ampuan Najihah, Nor Hayati Abdul Rahman turut menzahirkan penghargaan dan rasa bangga di atas kejayaan pasukan itu mengharumkan nama negeri dan negara, sekali gus berharap lebih banyak penyertaan seperti itu pada masa hadapan.
Sumber: Bernama
Foto: Noghori Arts School Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Najihah