Berita

Pemimpin bercitra da’i perlu utamakan nilai kemanusiaan

SEREMBAN: Memimpin sebuah negara dan negeri yang mempunyai masyarakat majmuk, seorang pemimpin yang bercitra da’i perlu memandang ia dari sudut peluang yang dianugerahkan Allah dalam membawa agenda perubahan yang bersandarkan kepada prinsip kepimpinan yang baik dan tadbir urus yang baik dengan mengutamakan nilai kemanusiaan di dalam kepimpinan seperti yang digariskan di dalam Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, nilai kemanusian yang tidak berasaskan perbezaan menjadi keutamaan setiap pemimpin dan seterusnya dapat memimpin keadilan sejagat demi kesejahteraan kehidupan masyarakat yang lestari.

“Keadilan sosial dan ekonomi hanya boleh dicapai dengan kekuatan kepemimpinan yang memelihara dan menjamin kehendak serta kebajikan masyarakat awam bersandarkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

“Kepimpinan yang berkesan seharusnya impak perubahan itu memberi kesan yang besar kepada semua lapisan masyarakat, Muslim dan bukan-Muslim.

“Adalah mustahil sekiranya seorang pemimpin yang juga seorang da’i, memilih golongan yang ingin dipimpin,” kata beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Persidangan Antrabangsa Da’wah dan Pengurusan Islam (IC-DAIM) 2021 anjuran Program Da’wah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diadakan secara dalam talian (Zoom Meeting) pada Selasa.

Menurut Aminuddin lagi, umat Islam seharusnya bersikap ihtiram al-ikhtilaf dan hubbul-ikhtilaf, iaitu menghormati kepelbagaian dan menyayangi kepelbagaian atau perbezaan.

“Adalah lebih utama seorang pemimpin Islam yang juga da’i mempunyai kesedaran dan bersikap dengan dua perkara ini di dalam pendekatan kepemimpinannya, khususnya dalam membuat keputusan untuk memberikan khidmat terbaik kepada semua pihak yang dipimpinnya,” ujarnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button