PEMIMPIN: Lantang bersuara atau lantang bekerja?
Kita dapat lihat hari ini dalam dunia yang serba moden betapa ramai pemimpin yang ada di sekeliling kita yang boleh dilihat melalui pelbagai platform media sosial. Sebagai seorang lelaki secara lahiriahnya anda juga adalah seorang pemimpin.
Namun, apakah sikap yang kita perlu terapkan dalam diri sebagai pemimpin adakah dengan lantang bersuara ataupun diam bekerja?. Oleh itu, artikel ini bertujuan memberi contoh kedua-dua sifat ini untuk pembaca menilai bagaimana yang harus ada dalam diri seorang pemimpin.
Lantang Bersuara
Tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang mempunyai sifat lantang bersuara ini sememangnya digemari oleh masyarakat. Manakan tidak, orang ramai melihat bahawa sifat ini adalah sifat yang bagus kerana berani menyuarakan pendapat dan idea mereka.
Kita juga dapat melihat sifat ini dalam kalangan pemimpin di negara kita secara khususnya. Apabila berkempen berdegar-degar cakapnya. Malahan terlalu lantang sehingga memperlekehkan orang lain ada juga sehingga menghina institusi Di Raja. Sebagai seorang pemimpin yang dilihat masyarakat tidakkah mereka terfikir bahawa sifat sedemikian mampu mempengaruhi orang ramai untuk berbuat demikian? Sedangkan rukun negara menyebut bahawa Kesetiaan kepada Raja dan negara serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Ada juga antara pemimpin kita yang lantang menyatakan telah melakukan pembangunan di negerinya seperti lapangan terbang antarabangsa. Namun begitu, sehingga hari ini lapangan terbang tersebut belum kelihatan tempat mendaratnya. Barangkali adalah untuk orang bunian.
Oleh itu, saya ingin meninggalkan persoalan kepada pembaca, adakah lantang bersuara ini yang kita mahukan sebagai pemimpin? Tidak ubah seperti paku sebatang, kuat bunyi tukulnya bertalu-talu.
Lantang Bekerja
Dari sisi ini kita melihat satu sifat yang lain. Hal ini demikian lantang bekerja ini adalah subjektif. Secara tidak langsung ia bermaksud kuat bekerja. Sifat seperti ini seharusnya kita perlu ada dalam diri sendiri.
Sebagai contoh, terdapat pemimpin di sebuah negeri yang lembut orangnya, tatkala pemimpin lain beradu domba, beliau memilih diam menjaga negerinya. Tahu tahu saja, sebuah pekan kampung di negeri itu semakin pesat membangun.
Pekan yang dahulu tidak ramai, malahan penduduk tempatan tidak menghiraukannya lebih-lebih lagi pada waktu malam. Kini, pekan itu sudah semakin meriah dengan adanya pelbagai jenis kedai berjenama besar yang wujud di situ.
Baru-baru ini juga pekan itu mendapat perhatian daripada seluruh negara apabila mengadakan sebuah program tradisional secara besar-besaran. Ia juga mendapat perhatian daripada beberapa kedutaan luar untuk turut serta.
Tidak cukup dengan itu, untuk menutup tahun 2023 ini pula beliau telah berjaya menjadikan semua daerah dalam negerinya mencapai sifar miskin tegar. Pemimpin ini tidak ubah seperti diam diam ubi berisi.
Rumusan
Daripada dua contoh ini dapatkan pembaca membuat penilaian sifat yang mana perlu ada dalam diri seorang pemimpin. Ia penting kerana orang yang dipilih itu nanti akan menjadi pemimpin kita. Jadi mahukah kita memilih pemimpin yang lantang bersuara atau lantang bekerja?
Oh ya, artikel ini adalah berkaitan Sanusi (MB Kedah) dan Aminuddin (MB N9).