Kemudahan komputer riba merupakan keperluan asas bagi pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT). Sejak pandemik Covid-19, keperluan komputer riba bagi pelajar IPT semakin mendesak apabila pengajian diadakan secara online. Namun, bukan semua pelajar IPT mampu memiliki komputer riba (laptop).
Justeru, bagi memastikan pelajar IPT dari keluarga kurang berkemampuan mendapat kemudahan pendidikan yang sempurna, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan melalui Yayasan Negeri Sembilan (YNS) telah memperkenalkan inisiatif bantuan komputer riba percuma untuk mahasiswa pada tahun 2021.
Untuk rekod, bantuan komputer riba percuma untuk golongan mahasiswa B40 tidak terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Walaubagaimanapun, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sedar pelajar IPT dari golongan B40 tiada kemampuan untuk membeli komputer riba; maka memperkenalkan inisiatif bantuan komputer riba.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, seramai 600 mahasiswa golongan B40 menerima bantuan komputer riba secara percuma yang melibatkan peruntukan RM1.5 juta.
“Pada tahun 2021, seramai 100 pelajar IPT menerima komputer riba dengan peruntukan RM250,000.
“Untuk tahun 2022, sebanyak 500 unit komputer riba diperuntukkan yang melibatkan kos RM 1,250,000 dan setakat ini 224 mahasiswa telah mendapat manfaat.
“Setiap mahasiswa yang layak menerima seunit komputer riba berharga RM2,500,” kata Aminuddin.
“Semoga sumbangan ini membantu anak-anak Negeri Sembilan yang kurang berkemampuan untuk belajar dengan lebih tekun dan seterusnya menjadi pelajar cemerlang di IPT mereka,” ujar beliau.
Aminuddin berkata, mahasiswa dari golongan B40 yang memerlukan bantuan komputer riba ini boleh membuat permohonan secara online di pautan (link) berikut:
http://bit.ly/BantuanKomputerRibaYNS
“Permohonan dibuka untuk anak kelahiran Negeri Sembilan, ataupun mereka yang telah menetap di Negeri Sembilan melebihi lapan tahun,” jelas Aminuddin.