Berita

Permohonan TUNS Plus dibuka semula untuk usahawan mikro Negeri Sembilan

Komitmen Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bagi membangun usahawan kecil

SEREMBAN: Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) memutuskan TUNS Plus akan dibuka semula untuk permohonan daripada usahawan mikro Negeri Sembilan bermula pada 25 Jun ini.

Pengerusinya, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek berkata, permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang https://tuns.my dan tarikh tutup pada 25 Julai 2021.

“Mesyuarat dimaklumkan TUNS Plus telah menerima 267 permohonan tetapi 190 permohonan terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi syarat kriteria seperti bukan usahawan Negeri Sembilan dan lain-lain.

“Maka hanya 77 permohonan yang akan dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kelulusan TUNS Plus 2021 yang akan bersidang pada 24 Jun 2021.

“Untuk memastikan keseluruhan dana RM3 juta di bawah skim TUNS Plus ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan mikro di Negeri Sembilan, maka permohonan TUNS Plus dibuka semula yang bakal memberi peluang kepada sekitar 123 usahawan lagi untuk menerima manfaat kemudahan pinjaman mudah tanpa faedah ini,” kata Mohamad Rafie.

Mohamad Rafie berkata, TUNS Plus adalah inisiatif baru yang diperkenalkan bermula tahun 2021 oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan:

a. Bantuan pembiayaan secara pinjaman mudah tanpa faedah berjumlah sehingga RM15,000.

b. Dana peruntukan yang disediakan untuk TUNS Plus adalah sebanyak RM3 juta yang boleh membiayai sekitar 200 usahawan mikro.

c. Usahawan mikro Negeri Sembilan termasuk usahawan yang telah menerima pembiayaan dana bantuan geran TUNS boleh memohon untuk mendapatkan pinjaman mudah tanpa faedah dibawah skim TUNS Plus Negeri Sembilan.

Dana RM15 juta diperuntukkan, manfaat kepada 4,269 usahawan kecil

“Inisiatif TUNS iaitu bantuan dana geran berjumlah RM3 juta dan TUNS Plus iaitu pinjaman mudah tanpa faedah berjumlah RM3 juta dengan jumlah keseluruhan RM6 juta untuk 2021 adalah komitmen Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan di atas keprihatinan dan komitmen untuk membangunkan usahawan mikro di Negeri Sembilan.

“Usaha untuk mengembangkan pembangunan usahawan mikro telah mula diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bermula pada tahun 2019 dengan jumlah RM3 juta yang telah memberi manafaat kepada 1,046 usahawan mikro dan untuk tahun 2020 sejumlah RM6 juta diperuntukan yang membawa manafaat kepada 2,023 usahawan mikro di Negeri Sembilan,” jelas Mohamad Rafie.

Menurut Mohamad Rafie yang juga ADUN Ampangan, keseluruhan dana yang diperuntukan selama tiga tahun dari tahun 2019 sehingga 2021 adalah berjumlah RM15 juta yang boleh memberi manfaat kepada 4,269 usahawan mikro di Negeri Sembilan.

Untuk rekod, Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang dipengerusikan oleh Mohamad Rafie telah bermesyuarat pada 18 Jun lalu dan dihadiri oleh Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abd Ghani; Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Ismail Ahmad; Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Dato’ Bakri Sawir; Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, YB Puan Nicole Tan Lee Koon bersama pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS).

Show More

Related Articles

Back to top button