Berita

Cha terima notis tuntutan dari pemaju insinerator

Sebagai wakil rakyat, saya membawa suara rakyat yang membantah cadangan pembinaan insinerator ini," Cha

RASAH: Ahli Parlimen Rasah, YB Cha Kee Chin berkata, beliau telah menerima notis tuntutan (notice of demand) melalui email pada 21 Jun 2021, dari sebuah syarikat pemaju insinerator di Bandar Seri Sendayan.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Negeri Sembilan di sini, Cha menjelaskan kronologi berkaitan isu cadangan pembinaan insinerator di Bandar Seri Sendayan seperti berikut:

1) 27 Mac 2021 – Cha melancarkan kempen tandatangan membantah cadangan pembinaan insinerator.

2) 27 Mac 2021 – Cha muat naik sebuah video dan posting berkenaan kempen bantahan cadangan pembinaan insinerator di Facebook beliau.

3) 16 April 2021 – Cha muat naik foto dan sebuah posting berkenaan menghantar memorandum (tandatangan bantahan) kepada Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan di Facebook beliau.

“Maka syarikat tersebut tidak puas hati dengan saya, merasakan saya telah memfitnah syarikat tersebut dan menghantar notis tuntutan kepada saya.

“Namun, notis ini tidak akan melunturkan semangat saya untuk membantah cadangan pembinaan insinerator di Bandar Seri Sendayan.

“Saya tiada kepentingan peribadi. Saya membantah kerana sebagai wakil rakyat, saya membawa suara rakyat yang membantah cadangan pembinaan insinerator ini,” kata Cha.

Cha suarakan isu kepentingan awam,” Loke

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, YB Loke Siew Fook pula menekankan wakil rakyat DAP sentiasa menyuarakan isu yang mempunyai kepentingan awam.

“Sentimen penduduk sekitar tidak setuju dan membantah dengan cadangan pembinaan insinerator di Bandar Seri Sendayan.

“Justeru, Cha mewakili rakyat di kawasannya, menyuarakan bantahan dan suara rakyat.

“Tetapi kita berasa dukacita, apabila syarikat ini ingin menyaman Ahli Parlimen Rasah.

“Saya melihat tindakan ini cuba menidakkan tanggungjawab ahli parlimen untuk bersuara. Kita tidak pernah takut dengan ugutan tindakan undang-undang,” ujar Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban.

Cha bersedia jumpa di mahkamah

Menjawab soalan Negeri Kita, Cha berkata beliau tidak gentar dengan notis tuntutan tersebut. Manakala Loke pula berkata, Biro Undang-Undang DAP Negeri Sembilan akan membantu Cha sekiranya syarikat tersebut memfailkan kes di mahkamah.

“Saya tidak akan tarik balik kenyataan dan posting saya di Facebook.

“Saya akan jawab notis tuntutan ini dalam masa tujuh hari.

“Sekiranya syarikat ini mahu bawa kes ini ke mahkamah, saya bersedia jumpa di mahkamah,” tegas Cha.

Turut hadir Senator Dato’ AK Dass dan Ketua Biro Undang-Undang DAP Negeri Sembilan, Encik Lee Kai Yet.

Lee akan kendalikan kes ini bagi pihak Cha.

Show More

Related Articles

Back to top button