Berita

Persekitaran bersih, rakyat muafakat, negeri sejahtera – Aminuddin

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menyatakan rasa kesyukurannya apabila pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan kini berada dalam keadaan yang semakin baik.

“Persekitaran diharap semakin bersih, rakyat semakin bermuafakat dan negeri semakin sejahtera,” katanya.

Aminuddin berkata, tahun 2020 dan 2021 ini telah mencoret cabaran yang cukup besar dan getir apabila rakyat berdepan dengan pandemik Covid-19 yang sehingga kini masih belum menang sepenuhnya.

“Sungguhpun begitu, dengan adanya permuafakatan dan usaha sama antara semua pihak, Negeri Sembilan telah berada di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara berkuatkuasa 24 September 2021 yang lalu. Alhamdulillah.

“Lebih banyak kelonggaran telah diberikan, sektor ekonomi juga telah dibuka bagi memulihkan kembali keadaan getir yang telah kita lalui hampir dua tahun ini. Rekod vaksinasi bagi populasi dewasa penduduk Negeri Sembilan hampir mencapai 100%.

“Kini fokus vaksinasi tertumpu kepada anak remaja pula. Terima kasih diucapkan kepada semua rakyat Negeri Sembilan yang memberi kerjasama dalam mendapatkan suntikan vaksin,” kata beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1443 Hijrah di Masjid Negeri pada malam Isnin.

Aminuddin ajak rakyat sokong ekonomi tempatan

Menurut Aminuddin lagi, Negeri Sembilan merupakan lima negeri terawal yang bergerak pantas bagi memastikan semua penduduk telah divaksin.

“Hal ini menggambarkan betapa Kerajaan Negeri komited dalam memastikan semua rakyat di negeri ini selamat dan boleh hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera.

“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan negeri ini terus makmur dan damai.

“Buat semua petugas barisan hadapan, andalah wira kami. Terima kasih. Terus patuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan jangan leka. Sama-samalah kita menjalankan tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.

Aminuddin turut mengajak rakyat Negeri Sembilan untuk sentiasa menyokong ekonomi tempatan.

“Negeri Sembilan mempunyai banyak lokasi pelancongan dan eko-pelancongan menarik untuk dilawati.

“Dengan adanya kitaran sokongan ekonomi daripada seluruh rakyat di negeri ini, nescaya ekonomi negeri sedikit sebanyak dapat dipulihkan kembali. Insyah Allah,” kata Aminuddin lagi.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button