TUANKU MUHRIZ: Bendung pandemik Covid-19 secepat mungkin
SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, membendung pandemik Covid-19 dengan secepat mungkin merupakan agenda paling utama.
Namun langkah mencegah penularan perlu diimbangkan supaya tidak mencetuskan darurat ekonomi yang sukar untuk dipulihkan.
“Mengaktifkan dan memulihkan aktiviti ekonomi agar kembali rancak seperti sebelum ini, merupakan cabaran yang sangat besar.
“Memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat akibat pandemik Covid-19, Kerajaan Beta telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat yang berada dalam kesusahan.
“Beta amat berharap agar Kerajaan Beta terus memainkan peranan mentadbir dengan baik dan menyejahterakan rakyat di negeri ini dengan inisiatif peduli rakyat tanpa dibatasi sempadan kaum, bangsa, agama atau politik.
“Kekayaan dan kemakmuran negeri ini haruslah dinikmati oleh sekalian rakyat Beta tanpa ada golongan yang tercicir,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1443 Hijrah di Masjid Negeri pada malam Isnin.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.
Baginda juga menzahirkan rasa syukur kerana atas usaha gigih semua pihak; Negeri Sembilan telah berjaya beralih ke Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), lebih awal berbanding dengan negeri-negeri lain.
Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani wabak Covid-19, terutamanya petugas barisan hadapan kesihatan, anggota polis dan tentera, pemimpin dan sukarelawan peringkat akar umbi di daerah, bandar dan mukim, serta para sukarelawan agensi swasta dan NGO yang telah memberi bantuan dengan pelbagai cara.
“Sumbangan mereka telah membuktikan semangat patriotisme yang amat tinggi dalam membantu usaha kerajaan melindungi keselamatan kesihatan setiap rakyat Beta di negeri ini.
“Beta juga menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, para penjawat awam dan syarikat swasta yang berganding bahu, bekerjasama serta berusaha untuk memulihkan dan membangunkan semula Negeri Sembilan.
“Semoga Allah SWT menganugerahkan ganjaran atas sumbangan dan pengorbanan semua,” titah baginda.
Foto: Nabil Syafiq