BeritaMenarik

Ranting kayu dan pelepah sawit boleh hasilkan ‘renewable energy’: JALALUDDIN

SEREMBAN: EXCO (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias telah mengadakan lawatan kerja ke Singapura bagi memperkasakan sektor pertanian di Negeri Sembilan.

“Lawatan ini untuk mempelajari, menyelidik dan mengkaji kepakaran serta pengalaman negara berkenaan, seterusnya membawa pulang ke negeri kita mengikut kesesuaian praktis tempatan.

“Saya tertarik dengan sebuah teknologi baru yang memanfaatkan sisa-sisa buangan pertanian seperti ranting kayu, pelepah sawit dan sisa-sisa tanaman yang sebelum ini terbiar menjadi bahan buangan tidak berguna.

“Dengan teknologi ini, semua sisa buangan itu akan diproses dan menghasilkan ‘renewable energy’ berasaskan hidrogen,” kata Jalaluddin.

Jalaluddin berkata, skop pertanian ini sebenarnya lebih besar dari yang kita lihat dan tahu.

“Dengan penerapan teknologi baharu sebegini, industri pertanian di negeri dan negara kita sebenarnya mempunyai prospek yang lebih besar dan boleh menjana pendapatan tambahan kepada rakyat.

“Saya yakin, pendapatan tambahan yang diperoleh itu bukan sekadar ‘cukup-cukup makan’, tetapi ia boleh menjadi sebuah kerjaya yang memberi kesenangan kepada pengusaha.

“Seperkara lagi, teknologi baharu ini jika berjaya dibawa ke Negeri Sembilan akan menjadi ‘serampang dua mata’ kepada pelbagai pihak.

“Selain boleh provide sumber tenaga yang baharu dan memberi pendapatan tambahan kepada petani, ianya juga selaras dengan ‘worldwide objective’ untuk pelaksanaan go-green di pelbagai peringkat,” jelas beliau.

Menurut Jalaluddin lagi, selain fokus kepada keterjaminan makanan dan peningkatan hasil pertanian tempatan, perlu juga difikirkan bagai mana hendak memanfaatkan sisa-sisa buangan pertanian agar ia bukan saja mengurangkan pencemaran alam sekitar, malah ia membina tenaga yang boleh diperbaharui dan bermanfaat.

Turut serta dalam lawatan ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Negeri Sembilan, Dato’ Najmuddin Sharif Sarimon dan lawatan ini tertumpu kepada kepakaran teknologi berasaskan pertanian sekitar Kawasan Perindustrian Shipyard Crescent, Singapura.

 

Show More

Related Articles

Back to top button