BeritaMenarik

90 bas awam baharu untuk Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menyediakan 90 bas awam baharu untuk perkhidmatan MyBas di seluruh Negeri Sembilan dan lima bas elektrik (EV) di kawasan Seremban.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, YB J.Arul Kumar berkata, beliau telah membuat tinjauan Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) atau MyBas di Terminal 1 Seremban bersama Setiausaha Politik kepada YB Menteri Pengangkutan.

“Dua operator baharu telah dilantik oleh MOT untuk mengendalikan Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti di seluruh Negeri Sembilan bermula 1 April 2024.

“Buat masa ini sehingga 30 Jun 2024, kedua-dua operator akan menggunakan bas-bas sedia ada dalam tempoh peralihan tiga bulan dan selepas itu akan ada lebih kurang 90 bas baharu untuk Perkhidmatan MyBas ini di seluruh Negeri Sembilan dan lima bas elektrik (EV) di kawasan Seremban.

“Setakat ini semua laluan adalah sama seperti sebelum ini dan dikekalkan.

“Tetapi saya juga dimaklumkan terdapat beberapa laluan yang tidak mendapat sambutan yang menggalakkan,” jelas Arul Kumar.

Arul Kumar berkata, beliau mendapat maklum balas daripada pengguna bas bahawa tempoh masa menunggu setiap laluan yang terlalu lama menjadi salah satu punca orang ramai tidak tertarik untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam ini.

“Kita akan mengkaji lagi beberapa faktor dan akan dibawa ke peringkat MOT untuk menambahbaik lagi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti di Negeri Sembilan dalam masa terdekat,” ujar Arul Kumar.

Show More

Related Articles

Back to top button