BeritaProgram

Negeri Sembilan beri kad nikah dalam masa sehari

EKSKLUSIF: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) merupakan negeri yang pertama memperkenalkan sistem pemberian kad perakuan nikah dalam masa sehari.

Pengarah JHEAINS, Dato’ Mohd Zaidi Ramli berkata, perubahan yang dilakukan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan ini amat disambut baik oleh pasangan yang baru bernikah di negeri ini.

“Jika sebelum ini, pemberian kad nikah ini mengambil masa 14 hari sehingga 30 hari.

“Ianya sangat menyusahkan pasangan yang baru berkahwin untuk membawa segala dokumen pengesahan nikah ke mana sahaja mereka pergi.

“Oleh itu, dengan perubahan ini pasangan yang sudah bernikah akan terus menerima kad nikah mereka dalam masa sehari,” kata Mohd Zaidi.

Mohd Zaidi berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan Negeri Kita berhubung pembaharuan yang dilakukan oleh JHEAINS dalam tempoh empat tahun di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Permohonan nikah secara online

Beliau turut menambah bahawa JHEAINS sedang mengambil langkah memperkenalkan sistem permohonan nikah secara atas talian (online) sepenuhnya bagi memudahkan pasangan yang ingin bernikah menghantar borang dan dokumen berkaitan secara online.

Pada masa ini pemohon memang memohon secara online melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM), tetapi dokumen berkaitan perlu diserahkan di kaunter. Melalui kaedah online sepenuhnya nanti borang dan dokumen dihantar secara online sahaja.

“Saya telah berjumpa dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membincangkan perkara ini.

“Apabila langkah ini dipersetujui, permohonan dan seterusnya pemberian kad nikah akan menjadi lebih cepat.

“Apabila sistem ini diperkenalkan, Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama menggunakan kaedah menghantar borang nikah dan dokumen berkaitan secara online,” jelas Mohd Zaidi.

Show More

Related Articles

Back to top button