Berita

RAMADHAN 2022: MAINS peruntuk RM7.31 juta untuk asnaf dan Pusat Tahfiz

Bonus Aidilfitri Guru KAFA berjumlah RM824,000

SEREMBAN: Sempena Ramadhan pada tahun ini, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah memperuntukkan bantuan asnaf dan institusi Tahfiz serta madrasah berjumlah RM7,315,600.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan ini meliputi Bantuan Bulanan Fakir dan Miskin, Bantuan Makanan Asas, Bantuan Kepada Anak Yatim, Bantuan Tambahan Raya Fakir dan Miskin, Bantuan Kepada Pusat Tahfiz dan Madrasah serta pengagihan juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan.

“MAINS turut memberikan bantuan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan Penjagaan Anak Yatim yang diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan.

“MAINS berjaya mengagihkan dana zakat berjumlah RM123 juta kepada asnaf bagi tahun 2021.

“Tahniah saya ucapkan kepada pihak MAINS atas kesungguhan dalam menjalankan amanah ini.

“Besarlah harapan saya agar MAINS terus cemerlang dalam menjaga kebajikan asnaf yang lapan, Insyah Allah,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Iftar Ramadhan MAINS di Dewan Menara MAINS.

Program ini adalah julung kalinya diadakan oleh MAINS dan pelbagai pihak telah dijemput bagi memeriahkan sambutan.

Dalam majlis ini, pihak MAINS turut menyampaikan beberapa bantuan iaitu:

i. Bantuan Khas Kewangan Guru Kelas Al-Quram dan Fardu Ain (KAFA) Negeri Sembilan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM824,000. Setiap guru KAFA menerima RM500.

ii. Bantuan Sokongan Program dan Aktiviti Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (PINTA) berjumlah RM710,000.

iii. Bantuan Sokongan Program dan Aktiviti Pusat Jagaan Pemulihan Dalam Komuniti dan Pusat Jagaan Anak Yatim, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan berjumlah RM305,000.

Secara keseluruhannya, sumbangan yang disalurkan pada majlis ini berjumlah RM1,839,000.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button