Rumah Negeri Sembilan Kaherah siap dinaik taraf RM6 juta
SEREMBAN: Rumah Negeri Sembilan Kaherah di Mesir telah siap dinaik taraf oleh Kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, projek naik taraf bangunan Rumah Negeri Sembilan Kaherah menelan kos keseluruhan hampir RM6 juta.
“Pada awal tahun 2020, saya dan kepimpinan Kerajaan Negeri telah berkesempatan menziarahi anak-anak yang sedang belajar di Mesir dan melakukan lawatan ke rumah kediaman milik Kerajaan Negeri yang keseluruhannya berjumlah 13 unit.
“Keadaan kediaman yang kurang sempurna membuatkan saya rasa terharu.
“Atas dasar itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan di asrama Rumah Negeri Sembilan di Kaherah dengan peruntukan berjumlah RM2 juta yang diumumkan ketika Pembentangan Belanjawan 2021 dan sebanyak RM1 juta dalam belanjawan tahun ini,” kata Aminuddin di Majlis Perasmian Naik Taraf Rumah Negeri Sembilan Kaherah.
Aminuddin turut mengambil kesempatan beramah mesra bersama para pelajar.
“Saya turut menitipkan pesan agar anak-anak menggunakan peluang yang diberi sebaik mungkin dengan sentiasa belajar bersungguh-sungguh.
“Besarlah harapan saya agar penambahbaikan Rumah Negeri Sembilan ini dapat memberikan keselesaan buat anak-anak Negeri Sembilan dalam usaha menuntut ilmu di bumi Mesir, Insya Allah,” ujar Aminuddin.
Foto: Nabil Syafiq