Berita

Aminuddin dan 586 ‘Frontliners’ terima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YB Dato’ Seri Aminuddin Harun telah menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, kelmarin.

HTJ merupakan antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Vaksin Covid-19 di Negeri Sembilan. Setiap penerima suntikan akan melalui beberapa stesen sebelum suntikan diberikan.

Stesen pertama untuk saringan gejala dan suhu, diikuti stesen kedua untuk pendaftaran bagi mengesahkan kehadiran untuk suntikan vaksin Covid-19. Stesen ketiga bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi, stesen keempat bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 dan stesen kelima ialah stesen pemerhatian.

Menurut Aminuddin, pemberian suntikan vaksin fasa pertama di Negeri Sembilan melibatkan ‘Frontliners’ yang dianggarkan seramai 21,000 orang.

“Bilangan dos vaksin yang telah diterima di Negeri Sembilan sehingga hari ini adalah sebanyak 19,890 iaitu untuk kegunaan seramai 9,945 orang ‘Frontliners’ di mana setiap seorang ‘Frontliners’ akan menerima dua dos suntikan. Pembekalan vaksin yang mencukupi untuk semua ‘Fronliners’ akan dibuat secara berperingkat.

“Pemberian vaksin bagi Fasa 1 telah dimulakan pada 1 Mac dan seramai 586 ‘Frontliners’ telah mendapat suntikan,” katanya.

Untuk rekod, Negeri Sembilan mempunyai sebanyak 37 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Turut menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech ialah Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam.

‘Lindung Diri, Lindung Semua’

Aminuddin berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, bertemakan ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ sedang dilaksanakan dalam tiga fasa bermula dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

“Fasa 2 pula dari April hingga Ogos 2021 membabitkan kumpulan warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang.

“Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) dengan sasaran lebih 13.7 juta orang,” jelas beliau.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button