Seramai 200,000 Rakyat Negeri Sembilan Terima Manfaat PJRM@Mantai
SEREMBAN: Seramai 200,000 rakyat di Negeri Sembilan menerima manfaat menerusi Program Jualan Rahmah MADANI @ Mantai (PJRM@Mantai) sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri 2026.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan (KPDN NS) memaklumkan program tersebut dilaksanakan bermula 12 Februari hingga 22 Mac 2026 merangkumi kesemua lapan Parlimen dan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan 241 lokasi pelaksanaan.
Menurut KPDN NS, inisiatif itu bertujuan membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran setempat.
“Pelaksanaan PJRM@Mantai ini turut disokong melalui kerjasama lebih 18 pasar raya di seluruh negeri menerusi PJRM@Premis dengan penawaran lebih 60 jenis produk,” katanya.
Antara barangan yang ditawarkan termasuk daging segar, gula kastor, mentega lepa, serbuk koko serta pelbagai keperluan asas kering dan basah lain.
Tarikan utama program berkenaan adalah jualan daging segar tempatan yang menjadi permintaan tinggi dalam kalangan pengguna khususnya menjelang Aidilfitri.
Bagi tahun ini, lebih 41,000 kilogram daging tempatan disediakan dengan jumlah subsidi melebihi RM357,000.
Selain itu, pelbagai barangan lain turut ditawarkan hasil kerjasama pembekal dan operator RAHMAH termasuk ayam segar, telur, minyak masak, beras, tepung gandum serta bahan membuat kek dan biskut.
Secara keseluruhan, pelaksanaan PJRM@Mantai 2026 mencatatkan 89 program jualan dan sembilan premis PJRM@Premis dengan purata 70 unit stok simpanan (SKU) bagi setiap lokasi.
Sebanyak 1.8 juta biji telur, 205,700 kilogram minyak masak peket, 61,150 kilogram tepung gandum, 121,600 kilogram beras, 41,889 kilogram daging segar serta 111,125 kilogram ayam segar telah diagihkan kepada pengguna sepanjang program berlangsung.
Jumlah keseluruhan subsidi yang disalurkan di bawah inisiatif ini dianggarkan mencecah RM4.3 juta.
KPDN NS menegaskan pihaknya akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup, selaras dengan agenda Kerajaan MADANI.




