Berita

Simulasi Sidang DUN Wanita cungkil bakat kepimpinan wanita

SEREMBAN: Simulasi Sidang DUN Wanita Negeri Sembilan 2021 mampu menampilkan bakat kepimpinan dan kebolehan serta menggali potensi diri pemimpin di kalangan wanita,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

“Saya dimaklumkan sidang anjuran Power House Wanita Gemilang (PH GEM) ini, akan menggunakan format Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Semoga usaha ini mampu menjadi platform mengasah bakat pemimpin wanita supaya mereka sedia melangkah ke peringkat yang lebih tinggi di samping mengetengahkan bakat wanita serta memastikan hal ehwal pembangunan wanita itu terus diangkat dan dimartabatkan.

“Besarlah harapan saya agar Simulasi Sidang DUN Wanita ini mampu merealisasikan usaha bagi mengarusperdanakan peranan, pemikiran dan penglibatan wanita dalam pelbagai sektor seperti alam sekitar, kesihatan, pendidikan, kebajikan sosial dan ekonomi dan hak asasi, terutamanya dalam bidang politik,” kata beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Pelancaran Simulasi Sidang DUN Wanita Negeri Sembilan 2021, di Palm Hotel, Seremban pada Sabtu.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Puan Nicole Tan Lee Koon.

Aminuddin berkata, dalam berhadapan dengan situasi semasa, sudah tentu golongan wanita mempunyai peranan yang besar terhadap penglibatan wanita dalam pembangunan negara.

“Penglibatan wanita penting bukan sahaja bagi aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara.

“Simulasi Sidang DUN Wanita juga salah satu kaedah memperkasakan wanita dan komuniti di seluruh negeri.

“Semoga dengan Simulasi Sidang DUN Wanita Negeri Sembilan 2021, menjadi ruang untuk mencambah pemikiran secara kritis, sihat dan membina untuk kebaikan rakyat di Negeri Sembilan khususnya golongan wanita,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button