Veerapan sumbang 120 ‘tablet’ kepada pelajar DUN Repah
REPAH: Seramai 120 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan ‘tablet’ (peranti pintar) dari ADUN Repah, YB Veerapan Superamaniam.
Veerapan berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan bahawa selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, semua sekolah di seluruh Malaysia akan ditutup dan proses pembelajaran akan menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Ini bakal dilakukan tanpa adanya apa-apa pendekatan lebih kreatif dan ‘luar kotak’ dalam berhadapan dengan pembelajaran di kala menghadapi pandemik Covid-19.
“Penutupan sekolah secara pukul rata di seluruh negara selepas cuti Aidilfitri tanpa bersandarkan pada sains dan data untuk mengenal pasti hotspot Covid-19, menyukar dan membantutkan penyelarasan kerja pentadbiran di sekolah dan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc).
“Dalam tempoh serta merta sekolah ditutup dan dibuka menyebabkan guru terpaksa melakukan sesi pembelajaran tanpa persediaan rapi.
“Kesannya, murid-murid hilang tumpuan dalam pelajaran dan guru-guru terbeban dengan kerja persiapan bagi kelas fizikal dan PdPR,” ujar Veerapan.
Justeru, kata Veerapan, di bawah inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan, seramai 120 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan (B40) dari DUN Repah telah menerima ‘tablet’ jenama Samsung Galaxy Tab A.
“Semoga dengan adanya ‘tablet’ di rumah, proses PdPR pelajar dapat berjalan dengan lebih lancar.
“Jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun atas keprihatian dan insentif yang diberikan kepada pelajar bagi memudahkan pembelajaran secara talian (online) dari rumah”, kata Veerapan lagi.
Veerapan berkata, penyerahan ‘tablet’ ini dibuat secara berperingkat-peringkat bagi mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Sebahagian tablet diserahkan kepada pelajar di Pusat Khidmat Rakyat DUN Repah secara berperingkat-peringkat. Sebahagiannya lagi saya hantar dari rumah ke rumah,” jelas Veerapan yang juga Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan.