Berita

Video tular cuci lebihan makanan, JKNS ambil tindakan

SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) mengesahkan telah mengambil maklum mengenai satu video tular di media sosial yang memaparkan dakwaan pengendali makanan mencuci saki baki makanan seperti daging ayam, daging kambing dan tauhu sebelum digunakan semula di sebuah premis nasi kandar di sekitar Seremban, Negeri Sembilan.

Video yang tular itu mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila seorang pekerja didakwa mencuci lebihan masakan yang tidak habis dijual untuk dimasak semula pada keesokan hari.

Susulan penularan video berkenaan, JKNS telah menjalankan siasatan segera ke atas premis terlibat.

Hasil pemeriksaan mendapati pelanggaran terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan telah berlaku.

Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap pemilik premis dengan mengarahkan penutupan premis di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 serta pengeluaran notis kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

JKNS memandang serius sebarang isu melibatkan kebersihan dan keselamatan makanan kerana ia boleh memberi risiko kepada kesihatan pengguna termasuk menyebabkan keracunan makanan.

“Semua pemilik, pengusaha dan pengendali makanan diingatkan supaya sentiasa mematuhi keperluan kebersihan dan keselamatan makanan yang ditetapkan.
Tiada kompromi akan diberikan terhadap sebarang pelanggaran,”katanya

Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan konsep ‘Perhati dan Pilih’ ketika memilih premis makanan serta mengamalkan kaedah Lihat, Hidu dan Rasa sebagai langkah awal bagi mengelakkan risiko keracunan makanan.

JKNS menegaskan pihaknya akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana premis makanan yang gagal mematuhi peraturan demi melindungi keselamatan pengguna.

Show More

Related Articles

Back to top button