Berita

Wanita Negeri Sembilan semakin ke hadapan

PORT DICKSON: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sentiasa komited dalam memperteguh agenda wanita di negeri ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, wanita di Negeri Sembilan semakin ke hadapan kerana ada diantaranya telah dilantik sebagai pegawai daerah, penghulu mukim dan pengerusi MPKK.

“Sejurus selepas mengambil alih tampuk kerajaan, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Power House Wanita Gemilang (PH GEM) sebagai salah satu instrumen langsung untuk memperkasa wanita di Negeri Sembilan.

“Pelbagai program telah dijalankan oleh organisasi tersebut dalam usaha meningkatkan lagi daya saing para wanita.

“Di samping itu juga, wanita boleh memanfaatkan pelbagai lagi inisiatif yang dianjurkan Kerajaan Negeri seperti inisiatif Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS), Geran Usahawan Tani, Geran MPKK untuk belia dan beliawanis.

“Buat konvensyen kali ini, besarlah harapan saya agar para delegasi dapat mengumpul resolusi dan idea dalam usaha memperteguh agenda pembangunan wanita di Negeri Sembilan,” kata beliau.

Aminuddin berkata demikian, dalam ucapan Perasmian Konvensyen Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan di Lexis Hibiscus, Port Dickson pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon; Ketua AWAN Negeri Sembilan, Puan Norwani Ahmat; Ketua Wanita DAP Negeri Sembilan, YB Mary Josephine Prittam Singh dan Ketua Wanita KeADILan Negeri Sembilan, Puan Amni Idris.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button