Berita

11 lokasi kebakaran hutan dan belukar di Negeri Sembilan, rakyat diseru elak pembakaran terbuka

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memandang serius insiden kebakaran hutan, belukar dan semak samun yang berlaku semalam, 3 Februari 2026, melibatkan 11 lokasi yang telah dilaporkan di beberapa kawasan dalam negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, beliau mengambil maklum pemakluman daripada Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM Negeri Sembilan, ACP Mohd Ashari berhubung situasi berkenaan.

Menurut beliau, keadaan cuaca yang kini memasuki fasa kemarau amat membimbangkan kerana meningkatkan risiko kebakaran merebak dengan pantas, sekali gus boleh mengancam keselamatan awam.

“Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan agar mematuhi larangan pembakaran terbuka, tidak membuang puntung rokok merata-rata serta mengelakkan sebarang perbuatan cuai yang boleh mencetuskan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook.

Beliau turut memohon kerjasama Jabatan Penerangan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta semua agensi berkaitan untuk segera mempergiatkan hebahan dan peringatan kepada orang awam melalui saluran media yang bersesuaian.

Aminuddin menegaskan, api yang kecil mungkin kelihatan tidak berbahaya, namun apabila marak, ia boleh menjadi ancaman besar yang menggugat keselamatan, ketenteraman awam, harta benda dan nyawa.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan PDRM serta agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

“Marilah kita sama-sama bertanggungjawab menjaga negeri yang kita cintai ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button