122 anak yatim, asnaf dan Maahad Tahfiz terima sumbangan RM50,000 daripada Aminuddin
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menyerahkan sumbangan kewangan berjumlah RM50,000 kepada 122 anak yatim, asnaf, ibu tunggal dan Maahad Tahfiz sempena Program Kasih Ramadan.
Aminuddin berkata, program ini merupakan anjuran Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (BAKRIYAH) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) dengan kerjasama 30 buah agensi termasuk kerajaan, GLC dan syarikat swasta.
“Selain sumbangan kewangan, kita turut memberikan bantuan dalam bentuk barangan makanan dan kelengkapan pakaian raya.
“Saya berharap syarikat swasta, agensi kerajaan dan GLC dapat meneruskan program kebajikan seperti ini pada masa akan datang dan bukan hanya pada bulan Ramadan sahaja.
“Ini dapat membantu golongan masyarakat yang memerlukan bantuan,” katanya.
Aminuddin berkata demikian di majlis penyerahan sumbangan program Kasih Ramadan di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan.
Turut hadir, Yang di-Pertua BAKRIYAH, YABhg Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, YB Yap Yew Weng yang juga Ahli Lembaga PPANS dan Pengarah PPANS, Puan Hajah Jamilah @ Chumila Haji Katis.