Berita

Aminuddin serah geran tanah kepada 166 peneroka Felda Raja Alias 1 dan 2

JEMPOL: Seramai 166 peneroka Felda Raja Alias 1 dan Felda Raja Alias 2 menerima hak milik tanah daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun pada Isnin.

Aminuddin berkata, seramai 111 orang peneroka dari Felda Raja Alias 1 dan 55 orang peneroka dari Felda Raja Alias 2 menerima geran tanah.

“Peneroka yang menerima hak milik tanah di Felda Raja Alias 1 dan 2, merupakan kelompok yang terakhir bagi seluruh Felda di Negeri Sembilan dalam penyelesaian pengeluaran hak milik di tanah penempatan berkelompok (GSA).

“Penyelesaian penyediaan geran tanah ini merupakan baki daripada Fasa 1 yang telah berlangsung pada 22 Januari lalu.

“Hal ini demikian kerana hak milik dalam Fasa 2 ini terlibat dengan pengambilan tanah oleh TNB bagi Pencawang PMU Yong Peng – Bahau pada tahun 2014. Selain itu, terdapat juga hakmilik yang mengalami isu pusaka dan dokumentasi permohonan,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin lagi, selepas ini pentadbiran Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah Jempol akan menumpukan usaha penyelesaian hakmilik bagi tanah-tanah FELCRA pula.

“Insyah Allah Kerajaan Negeri akan terus komited dalam usaha untuk memakmurkan hidup rakyat.

“Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan, diterjemahkan dengan usaha sebegini kerana sifatnya yang lebih kukuh,” ujar beliau.

Majlis Penyerahan hakmilik berlangsung di Dewan Pejabat Daerah Tanah Jempol.

Turut hadir, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button