Berita

Negeri Sembilan siap sedia 206 Pusat Pemindahan Sementara hadapi banjir

NICOLE: Mampu menampung 65,870 mangsa dalam satu masa

SEREMBAN: Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti dan menyediakan 206 tempat yang boleh dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, PPS tersebut mampu menampung seramai 65,870 mangsa bencana alam dalam satu masa.

“PPS tersebut terdiri daripada sekolah, dewan orang ramai, balai raya dan Pusat Komuniti Setempat.

“JKM Negeri Sembilan juga sentiasa bersedia menggerakkan tenaga kerja seramai 642 orang yang terdiri daripada Pegawai JKM, Pegawai Psikologi dan sukarelawan JKM.

“Pada tahun lalu, JKM Negeri Sembilan telah membantu seramai 1,042 mangsa bencana daripada 252 keluarga.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana alam di Negeri Sembilan,” kata Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang.

Nicole berkata demikian di Majlis Penutup Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara Peringkat Negeri Sembilan tahun 2022.

Show More

Related Articles

Back to top button