BeritaMenarikProgram

Ahli koperasi disarankan manfaatkan insentif TUNS

NILAI: Ahli koperasi disarankan memanfaatkan inisiatif Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan
Superamaniam berkata, Kerajaan Negeri Sembilan telah melaksanakan TUNS yang merupakan pembiayaan secara geran berjumlah RM 3,000 yang disasarkan kepada penjaja dan peniaga kecil di Negeri Sembilan.

“Objektif utama penubuhan TUNS ini sejak tahun 2019 adalah supaya lebih ramai golongan usahawan pada skala ini berjaya diwujudkan melalui inisiatif ini.

“Justeru itu, saya menyarankan koperasi-koperasi yang mempunyai anggota yang terdiri daripada para penjaja atau peniaga kecil untuk memanfaatkan peruntukan ini berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan,” kata Veerapan.

Veerapan berkata demikian di Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2024 Peringkat Negeri Sembilan sempena NS Fest di Dataran Nilai.

Dalam pada itu, Veerapan berkata, sehingga Disember 2023, Negeri Sembilan telah mencatatkan jumlah koperasi sebanyak 780 buah dengan keanggotaan melebihi 192 ribu orang dengan modal syer dan yuran terkumpul berjumlah RM123 juta dan jumlah aset sebanyak RM400 juta yang telah menjana jumlah perolehan koperasi berjumlah RM190 juta.

“Saya dimaklumkan sebanyak dua buah koperasi di Negeri Sembilan ini telah tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun 2024 dengan sumbangan perolehan sebanyak RM49.4 juta.

“Ini menunjukkan bahawa sektor koperasi negeri ini mampu memainkan peranan penting dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.

“Justeru itu, penyertaan koperasi di dalam aktiviti ekonomi amatlah diharapkan agar gerakan koperasi Negeri Sembilan terus relevan dan diyakini dapat memberi sumbangan yang signifikan dalam arus pembangunan ekonomi negeri ini.

“Pada hemat saya, kunci kepada kejayaan sesebuah koperasi adalah penyampaian perkhidmatan atau penghasilan produk yang berkualiti tinggi serta memenuhi kehendak pelanggan,” ujar beliau yang juga ADUN Repah.

Veerapan menambah, adalah wajar koperasi memahami dan mengambil berat terhadap keperluan-keperluan pelanggan untuk terus berkembang maju.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button