Berita

Aminuddin cadang penterjemah bahasa isyarat sewaktu khutbah Jumaat

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mencadangkan seorang penterjemah bahasa isyarat disediakan sewaktu khutbah Jumaat.

Aminuddin berkata, antara kekangan yang dihadapi oleh golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran adalah kurangnya penterjemah bahasa isyarat sewaktu khutbah Jumaat dan kuliah-kuliah agama.

“Sebagai langkah permulaan untuk menyelesaikan isu tersebut, saya telah mencadangkan agar sebuah masjid dipilih oleh Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) untuk diletakkan seorang penterjemah bahasa isyarat sewaktu khutbah Jumaat.

“Ini adalah salah satu isu yang sempat saya bincangkan bersama NESDA dalam kunjungan hormat mereka.

“Kami turut berbincang berkenaan perkara-perkara lain khususnya cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU pendengaran,” kata beliau.

Aminuddin berkata, semoga kerjasama baik antara Kerajaan Negeri Sembilan dan NESDA diteruskan dan seterusnya memberikan manfaat buat golongan OKU pendengaran.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button