Berita

Aminuddin santuni pelajar SPM Port Dickson

PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun telah turun padang bagi melawat beberapa buah sekolah di sekitar Port Dickson bagi mendekati warga sekolah serta melihat sendiri suasana pembelajaran pelajar.

Aminuddin berkata, lawatan dimulakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yam Tuan Raden dan diteruskan ke SMK Raja Jumaat sebagai sebahagian usaha menyantuni warga pendidik, selain memberi perhatian terhadap persediaan pelajar menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menjelang.

Dalam lawatan berkenaan, beliau hadir bersama Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson, Puan Zainab binti Abu Kassim serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan) Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson, Encik Mohd Zaidi bin Mohd Mustapa.

Menurut Aminuddin, lawatan tersebut turut dimanfaatkan bagi menyampaikan Sumbangan Pemangkin Kecemerlangan SPM kepada pelajar sebagai suntikan semangat menghadapi peperiksaan.

“SMK Yam Tuan Raden kini mempunyai seramai 1,325 orang pelajar termasuk 221 pelajar Tingkatan 5 yang mengikuti aliran STEM A, STEM B dan STEM C, sekali gus mencerminkan usaha sekolah dalam menyediakan asas pendidikan sejajar dengan keperluan masa hadapan serta pembangunan negara.

“Masa depan Negeri Sembilan bergantung kepada kualiti pendidikan hari ini, selain keprihatinan terhadap anak-anak sekolah bukan sekadar pencapaian akademik tetapi turut melibatkan pembentukan sahsiah, keyakinan dan cita-cita mereka,” kata Aminuddin.

Dalam pada itu, beliau turut melawat Sekolah Menengah kebangsaan (SMK) Raja Jumaat pula memberi ruang kepada beliau untuk mendengar taklimat berkaitan prestasi serta sasaran akademik sekolah.

SMK Raja Jumaat mempunyai 220 orang calon SPM dengan sasaran peningkatan pencapaian daripada Gred Purata Sekolah 5.10 kepada 4.84, disokong oleh 74 orang guru komited di bawah kepimpinan Pengetua, Encik Mohd Kavi bin Shamsudin.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut menghargai kesungguhan pihak pengurusan sekolah dan para guru dalam mendidik pelajar, selain menyatakan keyakinan bahawa kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa serta komuniti setempat akan terus memperkukuh usaha memperkasa pendidikan di daerah itu.

Beliau berkata, lawatan seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan usaha membina generasi masa hadapan dapat dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.

Show More

Related Articles

Back to top button