Kolumnis

Rakyat lebih mudah lemaskan BN di PRU musim banjir

EDY NOOR REDUAN: Tidak logik bila difikirkan bagaimana nanti petugas Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) berenang mengangkat peti undi daripada dibasahi banjir, namun dengan tahap kepandiran dan kerakusan BN dalam usaha mengekalkan kuasa, adalah tidak mustahil Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berlangsung di musim tengkujuh. Ia telah dimuktamadkan kelmarin selepas pertemuan ‘Top 5 Umno’.

Lebih melucukan ialah apabila dalam satu kenyataan beberapa hari yang lalu, Timbalan Presiden mereka mendakwa musim tengkujuh telah berubah ke bulan Mac tahun hadapan di atas alasan perubahan iklim dunia. Menurutnya lagi, pihak yang membantah pilihan raya pada bulan November atau Disember tahun ini tidak mempunyai ilmu kasyaf untuk menentukan bila waktunya musim hujan berlaku.

Wahai Timbalan Presiden yang nampak bijak pada mata kasar, memanglah kita tiada ilmu kasyaf, namun kita ada ilmu meteorologi yang membolehkan ahli sains meramal cuaca dan membekalkan maklumat penting demi keselamatan sejagat. Jika soal ilmu kaji cuaca ini tidak mampu dihadam, maka tidak pelik mengapa Timbalan Presiden yang nampak bijak ini tidak dilantik sebagai menteri selepas ‘Langkah Sheratonirrojim’ hingga ke hari ini.

Secara faktanya, tinjauan cuaca bagi bulan Oktober 2022 hingga Mac 2023 berdasarkan konsensus ahli meteorologi (MET) melalui penganalisaan beberapa model tinjauan iklim terpilih mendapati, fenomena La Niña sedang berlaku ketika ini dan dijangka akan berterusan sehingga November 2022 dengan kebarangkalian 91 peratus ekoran daripada peralihan monsoon. Laporan juga mengesahkan pertengahan November 2022 adalah permulaan bagi musim tengkujuh untuk kali ini.

Berikut adalah statistik ramalan untuk taburan hujan mengikut bulan dipetik dari laporan MET yang dikemaskini pada 28 September 2022:

1. Bulan November 2022 dijangka akan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 100mm hingga 900mm.

2. Bulan Disember 2022 antara 50mm hingga 850mm.

3. Bulan Januari 2023 antara 50mm hingga 400mm.

4. Bulan Februari 2023 antara 50mm hingga 350mm.

Statistik tersebut jelas menunjukkan taburan hujan pada bulan November dan Disember 2022 adalah lebih dua kali ganda dari taburan hujan pada awal tahun hadapan. Apakah yang cuba dibuktikan oleh Presiden, Timbalan Presiden dan Top 5 Umno?

Apakah Kerajaan yang ada pada hari ini tergamak mengalih genre persiap-siagaan menghadapi bencana tengkujuh kepada persiapan perang pilihan raya, hanya untuk secangkir peluang mengekalkan kuasa?

Sepatutnya musim banjir ini selamatkan nyawa, bukan jawatan, namun tidak perlu diulas soal sikap prihatin mereka terhadap nasib rakyat kerana mereka sememangnya buas.

Bagaimanakah situasi yang bakal berlaku ketika sekolah yang diguna untuk kerja-kerja pilihan raya terpaksa bertukar menjadi pusat penempatan banjir?

Adakah sengaja musim tengkujuh ini dijadikan hari mengundi agar keputusan pilihan raya boleh ditangguh-tangguh sekiranya berlaku banjir, maka secara tidak langsung lopak-lopak penipuan pilihanraya akan terbuka luas? Adakah mereka ingin terus berkuasa, tidak kira apa cara pun?

Nampak gayanya, mereka terlupa atau tidak belajar bagaimana tercetusnya kempen organik ‘Rakyat Akan Buang Umno’ (RABU) selepas mereka menamakan hari Rabu sebagai hari mengundi pada pilihan raya lalu. Kali ini, mereke memilih musim tengkujuh untuk pilihan raya, maka rakyat akan lemaskan mereka di musim banjir.

Percayalah bahawa kalau begini busuk perangai Umno, dengan pentadbiran yang cacamerba, dengan prestasi ekonomi yang menjerut rakyat, Umno BN tetap akan tumbang walaupun pilihan raya di musim ribut salji sekalipun.

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger

 

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menyatakan pendirian Negeri Kita.

Show More

Related Articles

Back to top button