Berita

Perancangan Kerajaan Negeri atasi kenaikan kos sara hidup

SEREMBAN: Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata, dalam usaha bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat Kerajaan Negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil beberapa tindakan.

Sehingga 21 Mac 2025, sebanyak 322 Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) telah dilaksanakan di seluruh 36 DUN di Negeri Sembilan.

Program ini melibatkan 137 model pelaksanaan dalam premis, empat pelaksanaan jualan terbuka, 180 jualan bergerak dan satu jualan dalam pasar.

KPDN Negeri Sembilan juga menggalakkan kedai runcit berskala kecil terutama di kawasan luar bandar untuk mengambil peluang dalam inisiatif ini dengan memohon menjadi operator PJRM di kawasan masing-masing.

Selain itu, PJRM ini telah diluaskan pelaksanaannya melalui PJRM@Pasar yang telah dilaksanakan pada 1 Mac 2025 di Pasar Ampangan, Seremban.

“Seramai 11 peniaga barangan segar seperti sayur, ayam, daging dan ikan terlibat dalam program tersebut.

“Sebanyak RM28,955.00 subsidi telah disalurkan untuk membantu peniaga di pasar dan sekaligus meringankan kos sara hidup pengguna.

“Selain itu, sebanyak 51 perniaga daging lembu segar tempatan turut diberi peluang menjalankan perniagaan semasa pelaksanaan PJRM sempena ‘Mantai Puasa’ dan ‘Mantai Raya’ dengan subsidi sehingga 30 peratus sebagai sokongan kepada peniaga kecil serta membantu rakyat membuat persiapan menyambut bulan Ramadhan dan perayaan Aidilfitri,” jelas Veerapan.

Menurut Veerapan, kerajaan juga telah memperkenalkan Kad Diskaun Menu Rahmah.

Inisiatif ini adalah kerjasama strategik antara Kementerian dan pemain industri sektor perdaganan dan pengedaran bagi membantu pengusaha Menu RAHMAH di seluruh negara.

“Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH diberikan kepada pengusaha yang menawarkan menu RAHMAH dengan harga tidak melebihi RM5.00.

“Set Menu Rahmah ini perlu mengandungi gizi seimbang, termasuk karbohidrat, protein dan serat.

“Kad ini membolehkan pengusaha membeli barangan mentah seperti ayam dan bawang dengan diskaun di lokasi-lokasi Program Jualan RAHMAH MADANI, dengan setiap jenis barangan dibenarkan pembelian sehingga 10 unit per SKU,” ujar Veerapan.

Veerapan berkata, Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) diperkenalkan pada tahun 2023 bagi menggalakkan peniaga menawarkan Menu RAHMAH dan mengadaptasi sistem pembayaran tanpa tunai.

“BRR ditumpukan ke lokasi yang majoritinya dari golongan B40 sebagai kumpulan sasar.

‘Peniaga akan menerima insentif sebanyak RM100, manakala pengunjung yang hadir di lokasi BRR yang terpilih akan menerima baucar e-wallet bernilai RM20,” kata beliau.

Veerapan berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Rantau, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (BN) di Persidangan Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Mohamad bertanya, apakah perancangan dan strategi Kerajaan Negeri bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup terutamanya dalam mengimbangi harga barangan yang terpaksa ditanggung oleh peniaga (usahawan) kecil dan sederhana akibat kos barangan dan perkhidmatan yang tinggi?

 

Show More

Related Articles

Back to top button