Lepaskan ikan asing ke sungai adalah tidak bertanggungjawab

SEREMBAN: Baru-baru ini telah tular satu perbuatan melepaskan ikan asing ke dalam perairan umum di Jalan Lee Sam, Seremban.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, perkara tersebut diketahui apabila beberapa individu daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) membuat aduan berkenaan aktiviti tersebut.
“Selepas semakan dilakukan, ikan asing yang dilepaskan merupakan jenis Keli Afrika yang mampu mengancam ikan tempatan dan ekosistem parit dan menjejaskan sungai yang mengalir di situ.
“Selepas menerima aduan, siasatan telah dilakukan di kawasan terbabit dan mendapati terdapat lebih kurang 50 ikan asing di situ yang airnya mengalir ke Sungai Linggi.
“Ikan Keli Afrika adalah ikan asing, ia tidak sepatutnya dilepaskan di perairan umum kerana ia boleh mengancam hidupan ikan lain.
“Orang ramai yang ingin melepaskan ikan di mana-mana perairan umum perlu merujuk laman sesawang Jabatan perikanan bagi mengetahui jenis ikan yang dibenarkan dan dilarang untuk dilepaskan,” kata Kasim.