Berita

Pembangunan Seremban Sentral bernilai RM2 bilion akan bermula pada tahun ini

SEREMBAN: Projek pembangunan Berorientasikan Transit atau Transit-Oriented Development (TOD) Seremban Sentral akan dibangunkan di kawasan seluas 20 ekar (8.4 hektar) di pusat bandar ini, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembangunan TOD oleh Kumpulan Sunway di tanah seluas 20 ekar antara Stesen Keretapi Seremban dan PRIMA Seremban Sentral akan mengandungi beberapa elemen pembangunan seperti pusat perubatan, institut pengajian tinggi, kediaman, hotel, mall dan komersial.

“Pembangunan TOD ini yang bersebelahan dengan Stesen Keretapi Seremban yang sedang dibina baharu oleh Kementerian Pengangkutan dengan kos lebih kurang RM200 juta juga akan membolehkan kawasan pembangunan ini dapat menarik lebih ramai orang melalui penggunaan komuter atau ETS.

“Selain itu, ia juga akan menarik lebih ramai penduduk untuk tinggal di sini dan boleh menggunakan komuter ke Kuala Lumpur juga.

“Perkara yang lebih penting adalah pembangunan besar ini juga akan menghidupkan semula Bandar Seremban dengan beberapa kawasan yang boleh menarik lebih ramai pengunjung.

“Selain itu, penduduk Negeri Sembilan khususnya Seremban juga mempunyai tempat yang menarik untuk dikunjungi seperti yang ada di Lembah Klang,” kata Loke.

Loke berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Kumpulan Sunway bagi Pembangunan Berorientasikan Transit atau Transit-Oriented Development (TOD) Seremban Sentral.

Katanya, Kumpulan Sunway dipilih sebagai pemaju utama projek berkenaan selepas melalui proses pemilihan yang kompetitif.

“Bandar Seremban kurang faktor ‘wow’.

“Kita adalah sebuah bandar lama yang kaya dengan sejarah, tetapi kita memerlukan sesuatu untuk menghidupkan semula bandar ini.

“Kami berbesar hati kerana Kumpulan Sunway telah memenangi tender ini, dengan menawarkan pulangan tertinggi kepada RAC bagi pembangunan tanah ini.

“Saya teruja untuk melihat projek ini direalisasikan dan dalam beberapa bulan akan datang, pemaju akan mengemukakan permohonan perancangan kepada pihak berkuasa tempatan, dan saya berharap kerjasama penuh akan diberikan bagi merealisasikan projek ini dengan cepat,” katanya.

Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata, fasa pertama yang merangkumi pembangunan pusat perubatan dan Seremban Yard akan bermula dalam tempoh enam bulan selepas perjanjian ditandatangani.

“Permintaan dalam sektor penjagaan kesihatan adalah tinggi, bukan sahaja dalam negara malah dari pesakit luar negara.

“Ini menyokong pelancongan perubatan, di mana pesakit dari negara jiran mendapatkan rawatan di sini, menginap di hotel dan menggunakan perkhidmatan tempatan.

“Ini akan merancakkan ekonomi tempatan. Saya berharap Seremban Sentral akan menjadi pemacu utama pembangunan bandar ini, dan agar RAC dapat mengoptimumkan sepenuhnya tanah di sebelah stesen,” katanya.

Loke turut menyatakan bahawa projek ini akan mengekalkan dan mengintegrasikan Stesen Keretapi Seremban yang bersejarah, dengan Seremban Yard dijangka merangkumi depot kereta api lama sebagai ruang kreatif untuk perniagaan kecil dan interaksi komuniti.

Beliau menambah bahawa keseluruhan projek ini akan mengambil masa selama 14 tahun dan akan memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur rel sedia ada, menjadikan Seremban sebagai hab pengangkutan yang lebih cekap dan inklusif.

Projek ini turut diintegrasikan dengan Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2), yang dijangka siap menjelang Disember 2028.

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button